Pemulihan pengeluaran, kualiti buah sawit lebih baik dijangka sokong pendapatan Sarawak Plantation pada 2026 - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan pengeluaran, kualiti buah sawit lebih baik dijangka sokong pendapatan Sarawak Plantation pada 2026 - Phillip Capital

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Feb – Prospek pendapatan Sarawak Plantation Bhd (SPLB) dijangka terus positif disokong oleh pemulihan pengeluaran yang berterusan, di samping keterlihatan kos yang semakin baik serta peningkatan kualiti buah pada 2026, menurut Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan itu berkata, faktor-faktor tersebut akan membantu memperkukuh trajektori pendapatan kumpulan dalam tempoh sederhana, terutama apabila profil pokok yang semakin matang menyumbang kepada hasil yang lebih stabil dan konsisten.

 

Selain itu, katanya, penambahbaikan dari segi pengurusan kos dan kecekapan operasi turut dijangka meningkatkan margin keuntungan, sekali gus mengukuhkan daya tahan kewangan syarikat dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

 

"Bagaimanapun prestasi pendapatan jangka pendek masih terdedah kepada faktor musim tanaman yang boleh mempengaruhi volum pengeluaran secara suku tahunan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Phillip Capital berkata, SPLB menunjukkan pemulihan prestasi operasi ketara apabila kumpulan itu merekodkan suku keempat 2025 (4Q25) terkuat dengan pengeluaran tandan buah segar (TBS) meningkat kepada 116,000 tan metrik (MT).

 

Prestasi tersebut menjadikan jumlah pengeluaran tahun kewangan 2025 mencecah 360,993 MT, sejajar sasaran awal pengurusan antara 355,000 hingga 363,000 MT.

 

Peningkatan itu sebahagian besarnya didorong oleh peralihan musim puncak hasil daripada suku ketiga ke suku keempat, sekali gus mengangkat momentum operasi kumpulan menjelang akhir tahun.

 

Secara keseluruhan, SPLB memiliki keluasan ladang sekitar 20,600 hektar dengan 20,134 hektar daripadanya telah matang dan purata usia pokok 8.5 tahun, memberikan profil produktiviti yang semakin baik.

 

Phillip Capital berkata, walaupun pengeluaran bagi 1Q26 dijangka kembali normal susulan faktor bermusim selepas 4Q25 yang luar biasa kukuh, penambahbaikan struktur kos serta pengurangan intensiti penanaman semula akan membantu mengekalkan daya tahan pendapatan.

 

Bagi 2025, kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dianggarkan sekitar RM2,700 setan metrik, termasuk kredit isirung sawit kira-kira RM700 setan metrik. 

 

Kos seunit dijangka menurun kepada sekitar RM2,400 setan metrik pada 2026 dan RM2,200 setan metrik pada 2027, disokong peningkatan volum dan kecekapan operasi.

 

Dalam masa sama, aktiviti penanaman semula dijangka berkurangan ketara selepas 4,220 hektar ditanam semula pada 2024 dan 3,200 hektar pada 2025.

 

Bagi 2026, keluasan penanaman semula dijangka menyusut kepada sekitar 1,000 hektar sebelum terus menurun dalam tempoh dua tahun berikutnya.

 

"Pengurusan menyasarkan untuk menggandakan pengeluaran TBS menjelang 2030, disokong profil pokok yang semakin matang serta penyempurnaan kitaran pelaburan semula kumpulan," katanya.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘HOLD’ terhadap SPLB dengan harga sasaran 12 bulan tidak berubah pada RM3.25, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) 11 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) 2026. - DagangNews.com