KUALA LUMPUR 30 Mac - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemegang saham terbesar dalam IJM Corporation Bhd, dilaporkan telah menolak tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd ke atas kepentingannya dalam syarikat pembinaan itu.
Memetik laporan The Edge, jawatankuasa pelaburan KWSP membuat keputusan tersebut selepas menilai tawaran berkenaan dan mendapati harga yang ditawarkan tidak mencerminkan nilai intrinsik IJM.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, jawatankuasa berkenaan berpendapat tawaran tersebut tidak mengambil kira potensi pertumbuhan IJM serta peluang penjanaan nilai melalui monetisasi aset syarikat.
“Jawatankuasa merasakan tawaran itu tidak menilai sepenuhnya potensi IJM dan kemungkinan monetisasi aset. Mereka juga berpendapat KWSP sebagai pemegang saham terbesar mampu berbuat lebih untuk menjana nilai daripada pelaburan tersebut,” kata sumber itu seperti dipetik akhbar tersebut.
Perkembangan itu menyusul selepas pemegang saham Sunway meluluskan cadangan pengambilalihan berkenaan minggu lalu, manakala KWSP memilih untuk berkecuali dalam pengundian pada mesyuarat agung luar biasa syarikat tersebut kerana mempunyai pegangan saham dalam kedua-dua IJM dan Sunway.
PNB Turut Tolak
Pada 16 Mac lalu, Permodalan Nasional Bhd (PNB), yang memiliki kira-kira 13.3% kepentingan dalam IJM, turut mengumumkan bahawa jawatankuasa pelaburannya tidak akan menerima tawaran Sunway atas alasan yang sama, iaitu tidak mencerminkan nilai intrinsik serta potensi pulangan masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM, Datuk Lee Chun Fai sebelum ini menyatakan syarikat sedang menilai beberapa langkah strategik termasuk potensi penyenaraian perniagaan pembinaan dan lebuh raya, selain kemungkinan pelupusan perniagaan konsesi tol di India.
Sehingga akhir 2025, IJM mempunyai buku pesanan berjumlah RM15.3 bilion dan tunai sebanyak RM2.3 bilion, namun prestasi sahamnya masih ketinggalan berbanding syarikat pembinaan lain seperti Gamuda Bhd dan Sunway Construction Group Bhd.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat pada harga RM3.15 sesaham, melibatkan gabungan 10% tunai dan selebihnya dalam bentuk saham baharu yang diterbitkan pada harga RM5.65 sesaham.

Penerimaan Rendah
Tawaran itu tertakluk kepada syarat penerimaan melebihi 50% pemegang saham IJM. Setakat ini, kadar penerimaan dilaporkan masih di bawah 13%, dengan tarikh tutup pertama ditetapkan pada 6 April ini, dan berkemungkinan dilanjutkan.
Susulan tawaran tersebut, IJM telah mendapatkan dua penilaian bebas yang meletakkan nilai syarikat jauh lebih tinggi daripada harga tawaran RM3.15 sesaham.
M&A Securities menilai saham IJM antara RM5.84 hingga RM6.48, manakala Rothschild & Co Malaysia Sdn Bhd menganggarkan nilai antara RM4.80 hingga RM5.63.
Selain KWSP dan PNB, antara pelabur institusi lain yang mempunyai kepentingan dalam IJM termasuk Lembaga Tabung Haji serta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).
Sementara itu, Sunway mempertahankan harga tawaran RM3.15 dengan menyatakan ia selaras dengan purata harga sasaran wajaran sebanyak RM3.24 daripada 14 firma penyelidikan bebas, selain mencerminkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) hampir 27 kali bagi tahun kewangan berakhir Mac 2025. - DagangNews.com








