Pembiayaan stabil mampu pacu jualan kereta terpakai 2026, kata pemain industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembiayaan stabil mampu pacu jualan kereta terpakai 2026, kata pemain industri

KUALA LUMPUR 16 Feb – Segmen kereta terpakai dijangka terus mencatat prestasi stabil pada 2026, disokong kapasiti pembiayaan yang kekal mampan serta permintaan berterusan daripada pembeli yang lebih peka terhadap harga.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Carsome, Aaron Kee berkata, jumlah jualan tahun hadapan berkemungkinan besar selari dengan pencapaian 2025 dan tidak menunjukkan lonjakan ketara.

 

Menurut beliau, permintaan kukuh daripada pembeli yang menitikberatkan nilai serta akses pembiayaan yang stabil menjadi faktor utama yang menyokong daya tahan segmen berkenaan.

 

“Segmen ini terus disokong oleh pembeli yang mencari pilihan lebih mampu milik dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi,” katanya.

 

Dalam pada itu, Aaron berkata kematangan gelombang awal penggunaan kenderaan elektrik (EV) akan menyaksikan lebih banyak unit memasuki pasaran kereta terpakai.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan segmen EV terpakai dijangka berlaku secara beransur-ansur dan bergantung kepada beberapa faktor utama termasuk ketelusan harga jualan semula, keyakinan terhadap jangka hayat bateri serta kewujudan penanda aras harga yang lebih jelas.

 

“Ia lebih kepada evolusi struktur jangka panjang berbanding lonjakan mendadak dalam tempoh singkat,” ujarnya kepada The Star.

 

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia, Datuk Tony Khor berkata beliau kekal berhati-hati optimis terhadap prospek industri pada 2026.

 

Beliau menjangkakan jualan kereta terpakai mampu mencatat pertumbuhan satu digit sekiranya keadaan makroekonomi kekal stabil dan dasar pembiayaan terus menyokong pasaran.

 

Menurutnya, jurang kemampuan antara kenderaan baharu dan terpakai akan terus menjadi pemangkin utama kepada permintaan, khususnya dalam kalangan pengguna berpendapatan B40 dan M40.

 

“Pasaran kereta terpakai kekal sebagai komponen penting dalam memastikan akses mobiliti yang lebih inklusif kepada rakyat merentasi pelbagai segmen pendapatan,” katanya.

 

Mengulas prestasi 2025, beliau berkata industri menunjukkan daya tahan meskipun pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan. Transaksi keseluruhan industri mencatat peningkatan kecil berbanding 2024.

 

Namun, industri berdepan beberapa cabaran termasuk kelulusan pinjaman bank yang lebih ketat terutama bagi kenderaan berusia tujuh hingga sembilan tahun.

 

Selain itu, peningkatan kos operasi seperti sewaan premis, pemasaran digital dan pematuhan peraturan turut memberi tekanan kepada margin pemain industri.

 

Persaingan daripada platform jualan terus dalam talian serta ketidaktentuan harga dalam segmen EV pra-milik yang sedang berkembang juga menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian. - DagangNews.com