Pembeli rumah di Malaysia terdedah risiko kerugian akibat sistem pinjaman – Khazanah Research Institute | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembeli rumah di Malaysia terdedah risiko kerugian akibat sistem pinjaman – Khazanah Research Institute

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Sistem pinjaman untuk projek rumah dalam pembinaan di Malaysia berpotensi menimbulkan risiko besar kepada pembeli, menurut laporan terbaru oleh Khazanah Research Institute (KRI).

 

Kajian bertajuk “Buyers Beware! Why Your Mortgage Could Be a Risky Conduit Deal with No Guarantee” oleh penyelidik Muhammad Nazhan Kamaruzuki mendedahkan bagaimana sistem yang diamalkan sekarang iaitu ‘jual dulu, bina kemudian’ menyalurkan pinjaman pembeli terus kepada pemaju untuk membiayai projek dan bukannya untuk rumah yang sudah siap.

 

Laporan itu mendedahkan, sistem itu berbeza dengan pinjaman perumahan konvensional di negara-negara lain kerana jualan hartanah sebelum pembinaannya siap amat jarang berlaku.

 

Sebaliknya, di Malaysia, institusi perbankan menyalurkan pinjaman secara berperingkat ke Akaun Pembangunan Perumahan (HAD) pemaju mengikut status kemajuan pembinaan.

 

KRI menegaskan situasi itu menjadikan pembeli seolah-olah pemodal yang tidak mempunyai perlindungan yang biasanya terdapat dalam pembiayaan projek komersial seperti pengesahan kemajuan oleh jurutera bebas, insurans projek atau cagaran.

 

“Risiko ditanggung oleh pembeli, namun mereka mempunyai kemampuan yang terhad untuk mengurangkannya,” menurut laporan itu.

 

KRI menyatakan risiko utama termasuk kekurangan pemantauan bebas terhadap kemajuan projek, tiada jaminan kontrak untuk menahan pembayaran jika projek itu bermasalah.

 

“Pembeli juga menanggung beban kewangan walaupun projek tertangguh, terbengkalai atau tidak siap sepenuhnya.

 

“Pampasan yang diperoleh biasanya tidak mencukupi untuk menampung kerugian yang dialami pembeli,” kata laporan itu.

 

Sistem yang diamalkan sekarang juga mendedahkan pembeli kepada risiko yang lebih besar berbanding bank atau pemaju.

 

Oleh itu, kajian tersebut mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan sistem bina dahulu, kemudian jual seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, di mana pembeli hanya membayar selepas rumah siap yang mampu mengurangkan pendedahan terhadap risiko pembinaan dan pemaju.

 

Menurut laporan tersebut, rakyat harus mempunyai bukan sahaja akses kepada rumah, tetapi juga jalan selamat untuk memilikinya tanpa terdedah kepada risiko projek pembinaan.

 

Penemuan ini turut menyokong perbincangan berterusan mengenai perlunya Malaysia beralih sepenuhnya ke sistem bina dahulu, jual kemudian bagi menjamin keselamatan kewangan pembeli rumah.- DagangNews.com