Pembangunan banyak pusat data baharu dijangka kuasai sektor pembinaan - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembangunan banyak pusat data baharu dijangka kuasai sektor pembinaan - AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Jun — Sektor pembinaan di negara ini dijangka lebih dikuasai dengan pelbagai projek pembangunan pusat data yang baharu, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest).


Firma penyelidikan tersebut berkata, pertumbuhan positif itu disokong oleh rangkaian projek pembinaan terkini dalam segmen pusat data yang mantap terutama daripada banyak syarikat swasta.


Perkembangan yang amat menggalakkan direkodkan di seluruh negara itu juga tambahnya, turut membantu dalam meningkatkan kadar penilaian Indeks Pembinaan Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.


"Kami percaya penganugerahan banyak pusat data akan mendominasi sektor pembinaan sekali lagi berdasarkan kemajuan semasa di beberapa buah negeri," kata AmInvest dalam satu nota kajiannya.


Ia merujuk kemajuan dicatatkan pemain sektor pembinaan di Selangor, Johor dan terbaharu, Negeri Sembilan namun firma itu berkata, keutamaan ketika ini lebih kepada pelanggan berskala besar.


Mereka kelazimannya menawarkan cadangan nilai kukuh yang terus memacu pelaburan berbilion ringgit dalam kampus data berketumpatan tinggi serta perbelanjaan infrastruktur dipacu kecerdasan buatan.


Berdasarkan situasi ketika ini, AmInvest memilih Gamuda Berhad dan Sunway Construction Group Berhad memandangkan rekod prestasi mereka yang mantap serta hubungan baik dengan pelanggan.


"Kedua-dua kumpulan tersebut turut memiliki buku tempahan projek yang dilihat sihat dengan rangkaian pelanggan berpotensi mencatatkan margin perolehan jangka panjang," kata firma itu. 


Di samping itu, ia turut menyukai Binastra Corporation Berhad kerana rekod kemenangan buku tempahannya yang terjamin dan perhubungan rapat secara positif dengan pelanggan utamanya.


Di peringkat antarabangsa, pengembangan projek pembinaan menyediakan pertumbuhan terpilih, dengan Australia dan Taiwan masing-masing menawarkan prospek dalam infrastruktur tenaga hijau dan rel.


Sebaliknya kata AmInvest, permintaan lemah sektor pembinaan direkodkan di Britain, terutama dalam kejuruteraan untuk projek kediaman dan awam, serta isu kekurangan pekerjaan. - DagangNews.com