KUALA LUMPUR 1 Ogos — Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan agar membenarkan pelaksanaan reformasi gaji dan pengurangan buruh asing menggunakan pendekatan beransur-ansur.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai namun mengalu-alukan pelan tindakan keseluruhan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai tanggungjawab fiskal dan berorientasikan pertumbuhan.
Ini termasuk penyelarasan gaji dengan kemahiran, kelayakan dan peranan, selain perluasan gaji minimum kepada graduan mahir adalah tepat bagi meningkatkan kualiti kerja dan mengekalkan bakat.
"Bagaimanapun, FMM mengesyorkan inisiatif penetapan gaji sebagai garis panduan dan bukan mandat, manakala imbuhan pula berdasarkan tahap berbeza di setiap industri," katanya dalam kenyataan.
Keadaan itu menurut Thian Lain, disebabkan variasi dalam kerumitan pekerjaan, situasi pasaran dan tahap produktiviti yang juga adalah penting memerlukan fleksibiliti dalam proses pelaksanaan.
Kepelbagaian tersebut tambah beliau, diyakini mampu mengimbangi perbezaan dari segi daya saing dengan keterangkuman dan memastikan penyertaan secara meluas dalam pasaran tenaga kerja negara.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13, pelan pembangunan negara selama lima tahun di Parlimen, memperuntukkan RM430 bilion dalam perbelanjaan pembangunan.
Mengenai isu pembaharuan buruh kata Thian Lai, FMM mengalu-alukan mekanisme levi yang berbilang peringkat dan telah lama tertunda bagi menggalakkan automasi serta pengambilan pekerja tempatan.
Beliau namun menimbulkan kebimbangan pihak pengilang terhadap sasaran kerajaan untuk mengurangkan pergantungan tinggi terhadap pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus menjelang 2030.
Tegasnya, peralihan mesti beransur-ansur dengan pertimbangan khusus untuk sektor tertentu, sambil menyatakan banyak industri kekal bergantung kepada buruh asing disebabkan sifat operasi sendiri.
"Rangka kerja levi pekerja luar juga mesti dilengkapi dengan skim insentif serta akses yang lebih baik kepada sokongan automasi, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," tambah Thian Lai.
Selain itu, FMM juga mengalu-alukan penekanan RMK13 terhadap pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET), dengan menyatakan hubungan industri yang lebih kukuh adalah penting.
Pembaharuan ini katanya, menyokong sasaran mewujudkan 700,000 pekerjaan baharu dalam pembuatan dan 500,000 lagi dalam ekonomi digital, yang menangani risiko industri sambil menerima teknologi.
Thian Lai berkata, usaha itu memastikan latihan kemahiran sepadan dengan keperluan pasaran dan FMM telah lama menyokong TVET serta berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam perkara ini.
Dari sudut makroekonomi, FMM menyifatkan peruntukan RM430 bilion bagi pembangunan mencapai usaha keseimbangan antara merangsang permintaan agregat dan mengekalkan kemampanan hutang kerajaan.
Tambahnya, risiko pelaburan swasta agak terhad, dengan petunjuk awal daripada inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan sektor kenderaan elektrik boleh menarik modal swasta.
Bagaimanapun Thian Lai memberi amaran bahawa sasaran perindustrian yang bercita-cita tinggi daripada pelan itu boleh dikekang cabaran struktur, termasuk ketidakpadanan kemahiran, dan peraturan.
"Tanpa pelaksanaan tepat dan sokongan sektor, faedah penuh mungkin tidak menjadi kenyataan. Kami mengesyorkan pembangunan industri diselaras dengan insentif tertentu," katanya. - DagangNews.com








