KUALA LUMPUR 27 April - Gold Li Holdings Bhd yang memberi tumpuan kepada pembangunan rumah bertanah mula membuka permohonan bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk mengumpul sehingga RM19.5 juta.
IPO itu ditawarkan pada harga 13 sen sesaham, merangkumi 117 juta saham baharu serta tawaran jualan 36 juta saham sedia ada, menurut prospektus yang dilancarkan hari ini.
Secara keseluruhan, kumpulan itu menawarkan sehingga 25.5% pegangan dalam syarikat.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi, Datin Lau Siew Yu berkata, IPO tersebut merupakan langkah strategik bagi mengumpul dana, meningkatkan pengiktirafan awam serta membolehkan syarikat mengakses pasaran modal ekuiti untuk pertumbuhan masa depan.
“IPO ini ialah instrumen strategik untuk kumpulan mengumpul dana, meraih pengiktirafan awam dan memanfaatkan pasaran modal ekuiti bagi pertumbuhan masa depan kami,” katanya pada majlis pelancaran prospektus.
Ketika ini, Gold Li mempunyai 13 projek sedang berjalan dan 28 pembangunan dirancang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan kira-kira RM854.9 juta.
Sebahagian hasil IPO biayai projek semasa
Daripada jumlah itu, tiga projek semasa dan satu projek dirancang akan dibiayai sebahagiannya menggunakan hasil IPO berjumlah RM11.21 juta.
Keseluruhan projek berkenaan mempunyai GDV sebanyak RM42.43 juta dengan kos pembangunan kasar RM18.6 juta.
Menjelang separuh pertama 2027, kumpulan itu juga menjangka memulakan pembinaan projek kediaman bertingkat pertama di Muar sebagai sebahagian daripada pelan lebih luas untuk mempelbagaikan penawaran produk.
Gold Li masih mempunyai bank tanah seluas kira-kira 47.3 ekar di seluruh Johor.
Ditubuhkan pada 1999, Gold Li memberi fokus kepada pembangunan kediaman bertanah dan telah menyiapkan 110 projek di Johor, terutama di Muar, Tangkak dan Batu Pahat.
Kumpulan itu turut beroperasi sebagai kontraktor utama bagi projek-projeknya sendiri.
Untung bersih FY2025 cecah RM7.84 juta
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (FY2025), Gold Li mencatat keuntungan bersih RM7.84 juta daripada hasil RM65.03 juta.
Prestasi itu diterjemahkan kepada margin keuntungan kasar 26.5% dan margin keuntungan bersih 12.1%.
Selepas penyenaraian, kumpulan itu dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM78 juta dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 10 kali berdasarkan keuntungan FY2025.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak mempunyai dasar dividen.
Sementara itu, hasil daripada tawaran jualan akan diperoleh sepenuhnya oleh pemegang saham penjual iaitu Pengarah Urusan, Datuk Lee Tiau Huat dan Lau.
Selepas IPO, pegangan gabungan mereka akan dicairkan kepada 73.3%, yang sebahagian besarnya dipegang menerusi syarikat pelaburan Setia Mega Sdn Bhd dengan pegangan kekal sebanyak 66.3%.
Tempoh permohonan IPO akan ditutup pada 5 Mei ini, manakala penyenaraian disasarkan pada 18 Mei.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com








