Pelupusan Velesto Workover hapuskan tekanan ke atas pendapatan kumpulan - TA Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelupusan Velesto Workover hapuskan tekanan ke atas pendapatan kumpulan - TA Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Dis  – Pelupusan Velesto Workover Sdn Bhd (VWSB) oleh Velesto Energy Berhad berupaya menghapuskan tekanan ke atas pendapatan kumpulan selain membolehkan pengurusan mengagihkan semula sumber kepada aktiviti yang menawarkan pulangan lebih tinggi, menurut TA Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu dilihat sebagai langkah strategik yang wajar dan positif dari sudut operasi, namun tidak memberi impak material dari segi kewangan kepada kumpulan.

 

"VWSB yang merupakan perniagaan bukan teras dan mencatatkan kerugian sebelum ini, dilupuskan selaras dengan strategi pengurusan untuk memperkemas operasi serta menumpukan sumber kepada segmen teras kumpulan iaitu penggerudian.

 

“Walaupun nilai pelupusan adalah sederhana, ia secara umumnya selari dengan nilai aset bersih VWSB, sekali gus menunjukkan tiada ketirisan nilai yang ketara,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA Research menambah, struktur urus niaga turut dilihat positif kerana dapat mengurangkan risiko penurunan melalui mekanisme pembayaran berperingkat serta deposit yang boleh dilucuthakkan.

 

"Secara keseluruhan, pelupusan itu disifatkan sebagai langkah pembersihan (clean-up) yang membantu meningkatkan fokus operasi kumpulan tanpa memberi kesan material kepada prestasi pendapatan keseluruhan," katanya lagi.

 

Dari segi unjuran, TA Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan Velesto Energy susulan pengumuman tersebut. 

 

"Keuntungan pelupusan sekitar RM0.4 juta dianggap bersifat tidak berulang dan oleh itu dikecualikan daripada andaian pendapatan teras," katanya.

 

Bagi penilaian pula, TA Research mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM0.26 sesaham, berdasarkan gandaan 8.5 kali pendapatan sesaham ramalan tahun kewangan 2026 (FY26F EPS) dengan premium ESG sebanyak 3%.

 

Saranan terhadap saham Velesto Energy juga dikekalkan pada Pegang atau HOLD. 

 

Semalam Velesto Energy mengumumkan cadangan pelupusan anak syarikat milik penuhnya, VWSB kepada Enviros Survey & Consultancy Sdn Bhd dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM16.5 juta.

 

Pelupusan tersebut akan diselesaikan sepenuhnya secara tunai dan dijangka dimuktamadkan pada separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu. - DagangNews.com