Peluang tender global terus melebar, Kelington intai tembusi pasaran Jepun, AS - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluang tender global terus melebar, Kelington intai tembusi pasaran Jepun, AS - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Jan - Peluang pertumbuhan Kelington Group Bhd di peringkat global dilihat terus berkembang, disokong oleh penyertaan aktif kumpulan itu dalam tender berskala besar merentasi pelbagai rantau utama, meskipun terdapat kebimbangan terhadap kemampanan buku tender melebihi RM4 bilion, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, nilai buku tender tidak wajar dinilai secara statik memandangkan ia sentiasa berubah seiring kemajuan bidaan dan penganugerahan projek. 

 

Dalam konteks ini, katanya, beberapa tender utama dijangka dimuktamadkan Kelington pada separuh pertama 2026 (1H26), termasuk projek di Eropah bernilai RM1.5 bilion dan India bernilai RM1.9 bilion, yang berpotensi menyumbang secara bermakna kepada pengisian semula buku pesanan kumpulan.

 

"Selain pasaran sedia ada, Kelington juga giat meneroka peluang baharu di Jepun dan Amerika Syarikat, termasuk potensi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) sebagai strategi untuk mempercepatkan penembusan pasaran serta memperluas keupayaan teknikal dan jejak global," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB, pihak pengurusan sebelum ini memberi amaran mengenai persaingan yang semakin sengit bagi projek asas (base-build) di Eropah, terutamanya akibat bidaan lebih agresif.

 

"Bagaimanapun kami percaya kesan tersebut berpotensi diimbangi oleh peningkatan tender di India, Singapura serta pasaran domestik. Permintaan yang lebih kukuh dari pasaran-pasaran ini dijangka menyokong keterlihatan pendapatan Kelington dalam jangka sederhana," katanya.

 

RHB Research mengekalkan saranan BELIdengan harga sasaran RM6.10, mencerminkan potensi kenaikan 11% serta pulangan dividen sekitar 3% bagi FY26F.

 

Unjuran ini disokong oleh kedudukan strategik kumpulan dalam rantaian nilai semikonduktor huluan, kekuatan buku tender serta peluang pertumbuhan baharu dalam segmen teknologi hijau.

 

Walaupun harga saham Kelington telah mencatat prestasi memberangsangkan sepanjang 2025, RHB Research percaya kaunter itu masih mempunyai ruang untuk meningkat. 

 

Keyakinan ini didorong oleh nilai kekurangan (scarcity value) hasil kepakaran teknikal khusus, peluasan kehadiran global serta penglibatan aktif dalam projek semikonduktor berteknologi tinggi yang berpulangan lebih baik.

 

Prestasi suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25) dijangka kekal kukuh, disokong oleh faktor bermusim yang lazimnya menyumbang kepada pendapatan lebih tinggi serta margin keuntungan kasar (GPM) yang mampan. 

 

Harga sasaran RM6.10 yang ditetapkan turut mengambil kira premium ESG sebanyak 6%, mencerminkan kedudukan positif kumpulan dalam aspek kelestarian.

 

RHB Research turut mengunjurkan pendapatan teras Kelington bagi 4Q25 berada dalam julat RM48 juta hingga RM53 juta, meningkat 25% hingga 33% tahun ke tahun, berbanding asas yang rendah pada 4Q24. Keputusan kewangan kumpulan dijadualkan diumumkan pada 25 Februari ini.

 

Bagi tahun kewangan 2026 (FY26), prospek Kelington dilihat kekal cerah dengan beberapa pemacu utama pertumbuhan. Antaranya termasuk buku tender dan buku pesanan yang besar, masing-masing berjumlah RM4.6 bilion dan RM1.6 bilion setakat 3Q25. 

 

Selain itu, tumpuan kepada projek kejuruteraan lanjutan dengan hasil lebih tinggi, kemasukan ke pasaran baharu serta perkembangan positif dalam segmen penangkapan dan penggunaan karbon (CCU) serta bio-gas dijangka terus menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan.

 

Pelaksanaan baki 102 juta waran yang masih in-the-money, dan dijangka tamat tempoh pada Julai ini, diunjurkan menjana kira-kira RM141 juta dana baharu. 

 

Suntikan tunai ini berpotensi meningkatkan fleksibiliti kewangan kumpulan serta menyokong pembayaran dividen pada masa hadapan.

 

Setakat tempoh sembilan bulan berakhir 2025 (9M25), Kelington telah mengumumkan dividen sebanyak 9 sen, termasuk dividen khas 1.5 sen pada 3Q25, bersamaan nisbah pembayaran dividen (DPR) 68%, jauh melebihi dasar rasmi kumpulan sebanyak 25%. - DagangNews.com