KUALA LUMPUR 6 Ogos — Gamuda Berhad diramal mampu mengatasi sasaran buku tempahannya menjelang akhir tahun ini sekiranya meraih kontrak terbaharu di Taiwan, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran yang ditetapkan sebanyak RM40 bilion itu diyakini dapat diperoleh kerana setakat Jun 2025, kumpulan berkenaan sudah pun merekodkan sejumlah RM37.2 bilion.
Tambahnya, dengan diandaikan hanya projek tempatan yang disasarkannya, firma itu menganggarkan kumpulan tersebut akan menamatkan perniagaan pada 2025 dengan buku pesanan sebanyak RM42 bilion.
"Ini tidak termasuk tender yang cukup berpotensi besar dalam kerja-kerja sistem rel transit aliran ringan (LRT) di Taiwan dan Australia serta paling baharu iaitu Pulau Pinang," kata CGSI dalam nota kajiannya.
Selain itu kata firma berkenaan, Gamuda juga dilihat sebagai amat berpeluang tinggi untuk dapat memenangi kontrak dalam projek pemindahan bekalan air mentah antara negeri Perak ke Pulau Pinang.
Pada masa sama, kumpulan tersebut dijangka memperoleh satu lagi tender di Taiwan menjelang akhir tahun ini yang dianggarkan bernilai RM3 bilion, sekali gus ia mudah melepasi sasaran buku tempahannya.
Bergerak ke tahun depan pula tambah CGSI, beberapa kontrak kelihatan cukup menjanjikan kerana ia mempunyai tiga projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan kontraktor awal (ECI) di Australia.
"Di Australia, Gamuda juga telah berjaya disenarai pendek untuk tender Stesen Pengangkutan Awam Bersepadu Parramatta di Sydney dan projek Kereta Api Sunshine Coast di Brisbane," katanya.
Sementara itu, di New Zealand, kumpulan berkenaan juga berpeluang menyertai projek lebuh raya Northland Corridor sejauh 100 kilometer yang menghubungkan bandar raya Auckland dan Northland.
Bagaimanapun tambah CGSI, syarikat tersebut perlu berwaspada dengan pelbagai risiko kelemahan utama antaranya masalah kelewatan dalam pemberian kontrak dan kos bahan mentah yang lebih tinggi.
Berdasarkan perkembangan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'tambah' ke atas Gamuda tetapi harga sasaran sesaham dinaikkan kepada RM7.30 daripada RM6.00 sebelum ini. - DagangNews.com








