Pelaporan kemampanan korporat Malaysia sejajar piawaian ISSB global - SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaporan kemampanan korporat Malaysia sejajar piawaian ISSB global - SC

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Jun – Malaysia diiktiraf secara rasmi kerana menyelaraskan pendedahan kemampanan korporat dengan piawaian global, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Berdasarkan Profil Bidang Kuasa terkini oleh Yayasan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS), Malaysia merupakan satu-satunya negara ASEAN yang diiktiraf kerana menerima pakai Piawaian Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa (ISSB) menerusi pendekatan peralihan terhad.

 

Pengiktirafan itu menunjukkan kredibiliti antarabangsa Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) yang dilancarkan pada September 2024, dan dibangunkan Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR), sekali gus menandakan kemajuan besar usaha kemampanan korporat negara.

 

Menurut kenyataan SC, Malaysia menerima pakai IFRS S1 dan S2 bersama langkah sementara seperti fokus awal kepada iklim dan penangguhan pendedahan pelepasan gas rumah hijau (GHG) Skop 3.

 

"Pendekatan ini membantu peralihan lancar ke arah pematuhan penuh kepada piawaian ISSB, selaras dengan tahap kesediaan pendedahan kemampanan syarikat yang berbeza," kata syarikat dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pengiktirafan oleh ISSB mengesahkan hala tuju kemampanan Malaysia.

 

"ACSR menyambut baik pengiktirafan ini sebagai penanda penting usaha kami dalam menjadikan piawaian ISSB sebagai asas pendedahan kemampanan di Malaysia," katanya.

 

Beliau mengakui, piawaian ISSB menetapkan aras tinggi bagi pelaporan kemampanan dan cabaran yang mungkin dihadapi organisasi untuk mematuhinya.

 

Bagi menyokong pelaksanaan piawaian baharu itu, NSRF memperkenalkan inisiatif dasar, andaian, kalkulator, dan pendidikan (PACE) yang merangkumi latihan, alat serta sumber teknikal.

 

Antara usaha awal termasuk latihan berkaitan kesepadanan piawaian ISSB dan Global Reporting Initiative (GRI) yang diadakan pada Mac lalu.

 

Langkah seterusnya melibatkan pembangunan contoh laporan kemampanan dan Program Penyedia NSRF bagi memperkukuh keupayaan pendedahan. 

 

Malahan, ACSR juga meneruskan libat urus industri bagi menangani cabaran pelaksanaan mengikut sektor.

- DagangNews.com