Pelan pemulihan KNM fokus operasi dalam negara  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelan pemulihan KNM fokus operasi dalam negara 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Jun - KNM Group Berhad memfokuskan semula operasinya di Malaysia sebagai langkah utama dalam pelan pemulihan syarikat.

 

Perkara itu dimaklumkan kepada para pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan syarikat baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNM, Ravindrasingham Balasingham berkata, syarikat telah lama menjadi jenama dipercayai dalam industri peralatan pemprosesan dengan pencapaian, dan pengaruh di peringkat global harus diteruskan.

 

“Kami komited membina semula keupayaan serta terus berkhidmat kepada pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam AGM tersebut, Lembaga Pengarah selaku Pengerusi KNM Group Berhad, Tunku Datuk Yaacob Khyra menyatakan strategi syarikat untuk mengadakan mesyuarat pemiutang yang diarahkan mahkamah dan memulihkan semula perniagaan dalam beberapa bulan akan datang.

 

KNM Group Berhad berdepan tempoh mencabar sejak Disember 2021 susulan kegagalan membayar bon kepada Bank Pembangunan Asia, sebelum turut gagal melunaskan beberapa pinjaman besar lain menjelang suku ketiga 2022 hingga diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17). 

 

Syarikat juga menghadapi kegagalan dalam cubaan menjual Borsig GmbH apabila pembeli gagal mendapatkan pembiayaan sebelum tarikh akhir, selain berdepan beberapa petisyen penggulungan.

 

Bagaimanapun, KNM Group berjaya memperoleh perlindungan di bawah Seksyen 366 Akta Syarikat serta sokongan majoriti pemiutang termasuk Bank Pembangunan Asia, penyedia hutang ekuiti swasta, dan rakan perbankan utama. 

 

Dengan sokongan tersebut serta komitmen pelanggan dan pemegang saham, syarikat kekal melaksanakan projek yang sedang berjalan walaupun menghadapi dua cubaan pengambilalihan bermusuhan.

 

Awal tahun ini, KNM Group mencatat pencapaian penting apabila berjaya mengenal pasti pembeli strategik baharu bagi Borsig, sekali gus memperoleh nilai transaksi menarik yang membolehkan KNM menyelesaikan sebahagian besar hutang tertunggaknya dan mengukuhkan kedudukan kewangan.

 

Melangkah ke hadapan, mereka menyatakan kesedian membina semula operasi di Malaysia dengan memanfaatkan rekod pencapaian selama 35 tahun dalam sektor pembuatan peralatan proses. 

 

Pada kemuncaknya 2019, operasi KNM di Malaysia menggaji lebih 800 kakitangan dan mengeksport antara 70% hingga 80% produknya ke pasaran global.- DagangNews.com