Pelan NESP, Rancangan Malaysia Ke-13 tidak terjejas walaupun dua menteri letak jawatan - Hanifah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelan NESP, Rancangan Malaysia Ke-13 tidak terjejas walaupun dua menteri letak jawatan - Hanifah

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 5 Jun – Perletakan jawatan dua menteri utama tidak menjejaskan kemajuan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (NESP) serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang hampir siap, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

 

Beliau mengesahkan RMK13 hampir siap untuk dibentangkan ke Kabinet, manakala kerja bagi NESP masih dijalankan.

 

"Semua kementerian memahami kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kakitangan awam telah berusaha dengan idea jelas untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita pada sidang kemuncak Forward Faster Symposium 2025 anjuran UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB).

 

Perletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Sri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkuat kuasa 4 Julai, tidak menjejaskan pelaksanaan kedua-dua pelan berkenaan.

 

menteri
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib

 

Hanifah Hajar berkata, NESP diselaraskan dengan rangka kerja ESG global dan melengkapkan enam teras Rangka Strategik Kelestarian Negara serta ESG Industri.

 

"NESP merupakan inisiatif menyeluruh yang membimbing perniagaan Malaysia ke arah pematuhan ESG dan amalan lestari. Ia akan menyokong secara berperingkat pihak perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk melaporkan ESG, melebihi sekadar pematuhan," katanya.

 

Dokumen RMK13 dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan, manakala tarikh rumusan NESP masih belum ditetapkan.

 

Simposium itu menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada eksekutif kanan, pengamal kelestarian, dan pemimpin perniagaan.

 

Bertemakan "Mempercepat Komitmen Kelestarian Korporat demi Masa Depan Tahan Lasak," acara itu menampilkan perbincangan mendalam dan dialog peringkat tinggi mengenai peranan perniagaan dalam mencapai Agenda Pembangunan Lestari 2030.

 

Perbincangan itu tepat pada waktunya berikutan cabaran ekonomi dan ketegangan geopolitik yang meningkat, di mana pemimpin korporat Malaysia terus memperkukuh komitmen ESG dan menggunakan kelestarian sebagai alat strategik untuk mengurus risiko, menjana nilai jangka panjang serta menyumbang kepada pembangunan negara.- DagangNews.com