KUALA LUMPUR 13 Jun - Pelaksanaan Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 8% ke atas sewaan yang bakal diperkenalkan dijangka mengehadkan potensi semakan semula kadar sewaan bagi Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), kata CIMB Securities.
“Ia berkemungkinan meningkatkan kos operasi penyewa dan mengehadkan semakan semula sewaan Sunway REIT bagi jangka masa pendek memandangkan perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan rangka kerja cukai yang baharu,” katanya.
Firma penyelidikan itu menganggarkan, pengurangan satu mata peratusan dalam unjuran semakan semula sewaan untuk aset runcit Sunway REIT boleh mengurangkan keuntungan bersih teras dan dividen sesaham bagi tahun kewangan 2026 kira-kira 1%.
Selain itu, peluasan SST berkuat kuasa 1 Julai ini mungkin menjejaskan sentimen pengguna, yang berpotensi memberi kesan kepada komponen sewaan berubah-ubah Sunway REIT, yang menyumbang kira-kira 15% daripada jumlah hasil sewaan.
Katanya, pembukaan Sunway Square Mall, yang terletak berhampiran Sunway Pyramid Mall, pada September 2024 dijangka meningkatkan persaingan dalam segmen runcit di tengah-tengah keyakinan pengguna yang suram.
Firma penyelidikan tersebut telah menurunkan penarafan Sunway REIT kepada “pegang” daripada “beli” walaupun harga sasaran kekal tidak berubah pada RM2.11 sesaham.
CIMB Securities menjangkakan prestasi lebih lemah pada separuh kedua tahun ini, memandangkan sambutan perayaan utama telah tertumpu pada suku pertama.
Tekanan inflasi yang berterusan juga dijangka memberi tekanan tambahan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa harga unit Sunway REIT masih disokong oleh unjuran hasil pengagihan sebanyak 5.2%-5.6% bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027. - DagangNews.com








