KUALA LUMPUR 21 Julai — Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 mungkin ditunda sedikit dari garis masa dicadangkan sebelum ini iaitu separuh kedua 2025, menurut Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, terdapat beberapa keperluan untuk kerajaan memperhalusi mekanisme dasar bagi dapat mengurangkan masalah ketirisan bahan bakar terbabit serta memastikan pengguna tidak pula terjejas.
Katanya yang juga Menteri Komunikasi, perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua wakil rakyat dalam pemukiman dengan Ahli Parlimen baru-baru ini.
“Perdana Menteri ada menyentuh mengenai hal ini dalam sesi pemukiman itu, dan beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan negatif kepada majoriti rakyat kita.
"Ini termasuk dasar yang belum dilaksana tetapi telah dibayangkan sebelum ini iaitu rasionalisasi RON95 kerana ia sedang diperhalusi, itulah yang menganjakkan sedikit garis masa,” kata beliau.
Fahmi menyatakan perkara tersebut pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi hari ini namun tidak menyatakan bilakah jangkaan pelaksanaan subsidi bersasar tersebut dapat diumumkan kerajaan.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah rasionalisasi subsidi ke atas petrol berkenaan akan dilaksanakan kerajaan pada tempoh separuh kedua 2025.
Kementerian Kewangan katanya, akan meneruskan pelaksanaan rasionalisasi RON95, namun ketika ini fokus tertumpu kepada perbincangan bagi memastikan golongan yang menerima sokongan subsidi. - DagangNews.com








