Pelaksanaan caruman mandatori KWSP pekerja asing diramal jejas pendapatan Supermax - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaksanaan caruman mandatori KWSP pekerja asing diramal jejas pendapatan Supermax - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Julai — Pelaksanaan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing diramal menjejaskan pertumbuhan Supermax Corp Berhad, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah mandatori berkenaan yang akan berkuat kuasa pada Oktober 2025 berisiko memberi kesan besar walaupun hanya potongan dua peratus daripada gaji bulanan.

 

Keadaan itu tambahnya, turut boleh mengakibatkan kos pengeluaran untuk produk sarung tangan getah kumpulan tersebut bertambah antara sebanyak 0.8 sehingga satu peratus bermula bulan berkenaan.

 

"Kami menganggarkan dasar baharu ini akan meningkatkan kos tersebut kepada AS$0.20 (kira-kira 85 sen) bagi setiap 1,000 keping sarung yang dikeluarkan," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.

 

Selain itu, firma berkenaan meramalkan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus sejak 1 Julai 2025, menambahkan lagi kos pengeluaran bagi produknya sehingga 1.5 peratus.

 

Situasi tersebut bersamaan sebanyak USD$0.30 (kira-kira RM1.27) untuk setiap 1,000 keping sarung kerana cukai itu terpakai kepada lateks getah asli yang diimport dan lateks getah nitril butadiena.

 

Dua faktor berkenaan menurut RHB Research, berlaku pada masa industri getah sudah bergelut dengan persaingan yang sengit, dan pembuat sarung tangan mempunyai keupayaan terhad untuk menyerap kos.

 

"Sekiranya tiada pilihan lain, kami menjangkakan Supermax mungkin memindahkan beban kos kewangan tersebut untuk ditanggung pula oleh pelanggan mereka dalam rantaian bekalan," kata firma berkenaan.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu masih memiliki potensi positif jika hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China dalam isu perang tarif perdagangan sejak April 2025 berubah kepada bertambah baik selepas ini.

 

Keadaan tersebut membolehkan peningkatan dalam harga jualan sarung tangan di pasaran antarabangsa kerana pada masa ini China bertindak melambakkan produk itu di luar AS dengan harga terlalu murah.

 

Penurunan harga bahan mentah yang lebih rendah daripada ramalan berikutan unjuran harga getah yang rendah di pasaran, turut dijangka mampu merangsang prospek pertumbuhan positif Supermax sendiri.

 

"Kami namun menjangkakan kumpulan ini kekal berwaspada untuk suku berikutnya, disebabkan kesan nilai dolar AS yang semakin lemah dan seretan pendapatan daripada kilangnya di AS," kata RHB Research.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' tetapi harga sasaran sesaham diturunkan kepada 54 sen berbanding 64 sen sebelum ini. - DagangNews.com