KUALA LUMPUR 30 Dis – Malaysia mencatatkan pelaburan Malaysia Digital yang diluluskan berjumlah RM54.13 bilion pada suku ketiga 2025 (3Q25), sekali gus menjana 21,815 peluang pekerjaan bernilai tinggi merangkumi 402 syarikat digital, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
MDEC dalam satu kenyataan berkata, prestasi tersebut mencerminkan momentum kukuh ekonomi digital negara walaupun berdepan persekitaran pelaburan global yang berhati-hati sepanjang 2025.
Katanya, pencapaian itu turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi digital utama di rantau ASEAN, selari dengan aspirasi negara untuk menjadi negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.
“Ekonomi digital Malaysia terus beralih kepada segmen bernilai tinggi dan berintensifkan pekerjaan, khususnya dalam bidang AI,” kata kenyataan itu.
Pelaburan berkaitan AI sahaja menyumbang 8,328 peluang pekerjaan atau 38% daripada jumlah keseluruhan pekerjaan yang dijana, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap profesional digital, saintis data, jurutera AI serta bakat perkhidmatan khusus.
Mengulas perkembangan itu Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, momentum berkenaan menunjukkan kesediaan Malaysia untuk bergerak daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta penyelesaian AI yang berdaya saing di peringkat global.
“Menjadi negara AI menjelang 2030 memerlukan asas digital yang kukuh, infrastruktur yang dipercayai, bakat berkemahiran serta kerjasama global yang mantap.
“Kemasukan berterusan pelaburan digital berkualiti tinggi membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar, bakat dan visi jangka panjang Malaysia untuk pertumbuhan AI yang bertanggungjawab dan inklusif,” katanya.
Menurut MDEC, Singapura muncul sebagai penyumbang pelaburan digital terbesar dengan nilai RM25.1 bilion, diikuti pelabur tempatan berjumlah RM17.2 bilion, Amerika Syarikat RM6.4 bilion dan China RM3 bilion.
Lembah Klang terus mendominasi landskap pelaburan digital negara apabila Kuala Lumpur dan Selangor menarik 88% daripada jumlah pelaburan bernilai RM47.8 bilion, disokong oleh infrastruktur matang, kepekatan bakat serta tahap kesiapsiagaan ekosistem yang tinggi.
Wilayah itu turut menyumbang hampir 90% daripada 19,417 pekerjaan digital yang diwujudkan.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan AI asing dan domestik, dipacu oleh kedudukan strategiknya sebagai hab digital ASEAN serta tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.
“Melalui pembangunan bakat bersedia masa depan, insentif bersasar dan pemudah cara pelabur yang proaktif, MDEC memastikan ekosistem digital yang menyokong inovasi, kebolehskalaan dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif Malaysia Digital berjaya menarik peneraju global merangkumi rantaian teknologi AI bernilai tinggi, sekali gus meletakkan syarikat tempatan, termasuk dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, di tengah-tengah transformasi AI negara.
Data MDEC menunjukkan pelaburan digital di bawah inisiatif Malaysia Digital melonjak 125% pada suku kedua 2025 (2Q25) kepada RM29.47 bilion berbanding RM13.11 bilion pada suku pertama 2025 (1Q25).
Secara keseluruhan, pelaburan digital negara mencecah RM163.6 bilion pada 2024, meningkat ketara berbanding RM46.8 bilion pada 2023. - DagangNews.com








