KUALA LUMPUR 8 Julai — Pelabur sektor minyak dan gas (O&G) dinasihatkan perlu lebih berwaspada berikutan hasil penyedia perkhidmatan huluan berisiko merosot pada FY26, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan lemah sektor berkenaan dapat dilihat berdasarkan penurunan secara ketara harga saham dalam dagangan semasa di pasaran Bursa Malaysia baru-baru ini.
Tambahnya, ia namun percaya masih terlalu awal untuk memulakan langkah pembelian saham daripada harga murah, kerana penurunan taraf pendapatan syarikat selanjutnya berkemungkinan besar berlaku.
"Pelabur dinasihatkan agar menggunakan strategi tunggu dan lihat buat masa ini sambil memerhatikan perkembangan seterusnya dalam pasaran tenaga global," kata Kenanga Research dalam nota kajiannya.
Sementara itu, ia menyatakan bahawa segmen petrokimia kekal dalam kemerosotan yang berpanjangan, kerana harga masih berlegar pada AS$1,000 (kira-kira RM4,238) setiap tan sejak suku keempat 2024.
Kata firma berkenaan, sektor petrokimia turut kekal dalam penyusutan sejak separuh kedua 2025, dan ia masih lagi belum melihat sebarang tanda-tanda bermakna untuk pemulihan harga secara mampan.
Di samping itu, Kenanga Research menyatakan yang mereka juga tidak melihat apa-apa aliran menaik dalam harga minyak mentah penanda aras antarabangsa iaitu Brent dalam tempoh masa terdekat.
"Situasi ketika ini tidak seperti sebelumnya yang didorong oleh peristiwa geopolitik utama seperti Arab Spring pada 2010, dan sebarang lonjakan harga berkemungkinan untuk jangka pendek," katanya.
Selain itu katanya, keadaan distabilkan menerusi langkah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) yang beransur-ansur mengurangkan pemotongan awal dua juta tong sehari (bpd).
Mereka bagaimanapun masih menahan sebanyak 3.85 juta bpd lagi dalam pemotongan berjadual sehingga akhir 2026 dan baki tahun itu dijangka menjadi lembap bagi penyedia perkhidmatan huluan tempatan.
Kenanga menambah, situasi sama juga dialami pemain petrokimia, berikutan harga minyak lemah dan ketidaktentuan secara berterusan di sekitar isu Petros dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Ia mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor O&G dengan ramalan harga minyak Brent tidak berubah masing-masing sebanyak AS$64 (RM271) setong dan AS$67 (RM283) setong untuk 2025 dan 2026.
Saham pilihan utama firma berkenaan ialah Dialog Group Berhad dan MISC Berhad. - DagangNews.com








