KUALA LUMPUR 5 Jan - Pelabur asing meneruskan trend penjualan bersih ekuiti domestik di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah RM904 juta pada minggu lalu, iaitu peningkatan ketara sebanyak 65% berbanding minggu sebelumnya.
MBSB Research dalam laporan mingguan pergerakan ekuiti berkata, prestasi tersebut direkodkan dalam minggu dagangan yang lebih pendek berikutan Bursa Malaysia ditutup pada hari Khamis sempena cuti Tahun Baharu.
Katanya, walaupun tempoh dagangan singkat, tekanan jualan oleh pelabur asing kekal konsisten sepanjang minggu.
"Data menunjukkan pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar tertinggi dicatatkan pada hari Rabu berjumlah RM270 juta. Ini diikuti Selasa (RM261.7 juta), Jumaat (RM232.4 juta) dan Isnin (RM140 juta)," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, dari segi sektor, telekomunikasi dan media mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi sebanyak RM16.6 juta, diikuti produk & perkhidmatan perindustrian (RM14.8 juta) dan teknologi (RM8.1 juta).
Sebaliknya, sektor perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar asing terbesar sebanyak RM482.8 juta, diikuti utiliti (RM258.2 juta) dan perladangan (RM75.9 juta).
Dalam perkembangan berkaitan, institusi tempatan terus memainkan peranan sebagai penyokong utama pasaran dengan merekodkan pembelian bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut.
Jumlah aliran masuk bersih oleh institusi tempatan mencecah RM924.1 juta pada minggu lalu, hampir mengimbangi sepenuhnya aliran keluar pelabur asing.
Sementara itu, peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM20 juta.
Dari sudut aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan merentasi semua kumpulan pelabur. Dagangan oleh institusi tempatan meningkat sebanyak 18.1%, diikuti peruncit tempatan (+3.6%) dan pelabur asing (+1.5%). - DagangNews.com








