Pelabur asing jual RM169.4 juta ekuiti Malaysia minggu lepas, kata MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM169.4 juta ekuiti Malaysia minggu lepas, kata MIDF Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Pelabur asing terus menjual ekuiti Bursa Malaysia pada minggu ke-16 berturut-turut berjumlah RM169.4 juta berbanding dengan RM503.3 juta dicatatkan pada minggu dagangan berakhir 31 Januari 2025, kata MIDF Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih sepanjang minggu dagangan berakhir 7 Februari 2025 kecuali pada hari Jumaat. 

 

Katanya, sejumlah RM151.9 juta aliran dana dikeluarkan pada Isnin. 

 

 

 

"Pada Selasa, Rabu dan Khamis, jumlah aliran keluar bersih masing-masing pada RM18.5 juta, RM65.1 juta dan RM27.1 juta.

 

"Sebanyak  RM93.2 juta aliran masuk dicatatkan pada Jumaat, mengakhiri rentetan aliran keluar bersih asing bersih selama 24 hari berturut-turut," katanya dalam laporan aliran dana dikeluarkan, hari ini. 

 


MIDF berkata, tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM117.2 juta), pembinaan (RM111 juta) dan teknologi (RM77.6 juta).

 

"Sementara itu, sektor utiliti, produk dan perkhidmatan industri serta tenaga mencatat aliran keluar asing bersih masing-masing pada (RM181.4 juta), (RM92.7 juta) dan (RM61.2 juta). 

 

"Sebaliknya, institusi tempatan terus menyokong bursa tempatan, dengan pembelian bersih berjumlah RM194.2 juta dalam ekuiti domestik.

 

"Mereka membeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan minggu lepas, dengan aliran masuk bersih pada Isnin, Rabu dan Khamis masing-masing berjumlah RM130.8 juta, RM85.4 juta dan RM35.3 juta.

 

"Pelabur runcit tempatan menamatkan rentetan belian mereka selama empat minggu berturut-turut di Bursa Malaysia, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM24.8 juta dalam ekuiti, berjumlah dua minggu jualan bersih setakat ini pada 2025," katanya.

 

Sementara itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan merentasi semua sektor pada minggu lepas. 

 

Pelabur asing pula menyaksikan penurunan sebanyak 8.7%, manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan menyaksikan lonjakan masing-masing sebanyak 7.8% dan 1%. - DagangNews.com