Pelabur asing jual RM10.9 bilion ekuiti tempatan sejak Oktober 2024, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM10.9 bilion ekuiti tempatan sejak Oktober 2024, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - Pelabur asing menjual ekuiti tempatan berjumlah RM10.9 bilion sejak Oktober 2024 dan ia merupakan angka terbesar selepas kali terakhir berlaku pada separuh pertama 2020 ketika bermulanya perintah kawaln pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pelabur asing kekal menjadi penjual ekuiti Malaysia pada Januari 2025 sebanyak RM3.1 bilion dan ia merupakan bulan ketiga jualan pada tahap RM3 bilion selepas November 2024 (RM3.1 bilion) dan Disember 2024 (RM2.9 bilion).

 

"Pegangan pelabur asing asing dalam ekuiti Malaysia menyusut kepada 19.4% pada akhir Januari 2025 (Disember 2024:19.7%), terendah sejak Januari 2007," katanya dalam satu nota kajian.

 

 

Lima saham Malaysia teratas yang dijual oleh pelabur asing mengikut nilai pada Januari 2025 ialah Tenaga Nasional Bhd, Public Bank Bhd, YTL Power International Bhd, RHB Bank Bhd dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd manakala pembelian teratas ialah CIMB Group Bhd, AMMB Holdings Bhd, 99 Speed Mart Retails Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd dan Sunway Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah aliran portfolio (bon + ekuiti) terus kekal mencatatkan kerugian pada Disember 2024 dengan aliran keluar sebanyak RM4.3 bilion (November 2024: RM4.2 bilion) apabila pelabur asing terus mengeluarkan dana daripada ekuiti domestic.

 

Katanya, aliran masuk portfolio terkumpul 12 bulan 2024 menyusut kepada RM600 juta (bon +RM4.8 bilion, ekuiti –RM4.2 bilion) berbanding RM21.3 bilion pada 2023.

 

Dana asing mengurangkan pegangan mereka dalam bon Ringgit Malaysia untuk bulan ketiga berturut-turut pada Disember 2024, dengan aliran keluar sebanyak RM1.4 bilion (November 2024: -RM1.1 bilion; data Jan 2025 belum tersedia lagi), menjadikan jumlah pegangan asing turun kepada RM275.2 bilion.

 

Aliran masuk asing setahun penuh kekal positif tetapi dikurangkan kepada RM4.8 bilion. Bahagian asing Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), susut kepada 32.3% pada Dis 2024 (November 2024: 32.7%), terendah sejak 2011, manakala bahagian asing MGS+Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) jatuh kepada 21.2% (November 2024: 21.4%).

 

Sementara itu, Maybank IB berkata, pelabur runcit, yang telah menjual sejak Julai 2023, bertukar pembeli pada Januari 2025, dengan RM1.2 bilion (Dis 2024: -RM800 juta). Institusi domestik juga membeli RM1.9 bilion (Disember 2024: +RM3.7 bilion).

 

Ekuiti purata dagangan harian (ADV) (termasuk dagangan perniagaan langsung (DBT)) dijejaki semula ke RM2.7 bilion (Disember 2024: RM2.9 bilion). Penyertaan asing (ex-DBT) sebahagian besarnya tidak berubah pada 38.5% (Disember 2024: 38.9%), DI 41.8% (Disember 2024: 41.2%) dan runcit 19.7% (Disember 2024: 20%). - DagangNews.com