Pelabur asing jual ekuiti RM516.6 juta selepas dua minggu jadi pembeli bersih - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM516.6 juta selepas dua minggu jadi pembeli bersih - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Julai — Pelabur asing menukar rentak dagangan mereka di Bursa Malaysia apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM516.6 juta selepas dua minggu menjadi pembeli bersih.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan sepanjang minggu lalu dengan jumlah harian antara RM10.1 juta hingga RM272.3 juta.

 

"Isnin mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi, diikuti Jumaat sebanyak RM103.6 juta, manakala Selasa merekodkan jumlah aliran keluar paling rendah," katanya dalam nota kajiannya.

 

 

 

 

 

Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM52.5 juta), hartanah (RM35.4 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM32.1 juta).

 

Tiga mencatatkan aliran keluar bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM237.6 juta), telekomunikasi dan media (RM142.7 juta) serta pembinaan (RM89.1 juta).

 

MIDF Research berkata, institusi tempatan masih meneruskan pembelian bersih selama lapan minggu berturut-turut, dengan jumlah aliran masuk sebanyak RM463.9 juta berbanding RM61.0 juta minggu sebelumnya.

 

Sementara itu, pelabur runcit tempatan kembali kepada trend pembelian bersih selepas dua minggu berturut-turut menjadi penjual bersih, dengan aliran masuk sebanyak RM52.7 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan penyusutan secara menyeluruh pada minggu lepas.

 

Katanya, institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 1.6% dan 12.9%, manakala pelabur asing mencatatkan kemerosotan sebanyak 8.3%. - DagangNews.com