KUALA LUMPUR 4 Ogos — Pelabur asing meneruskan rentak jualan di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM378.1 juta pada minggu lalu.
MBSB Research berkata, jumlah tersebut adalah 4.2 kali ganda lebih tinggi berbanding aliran keluar pada minggu sebelumnya iaitu sebanyak RM89.9 juta.
Kata firma penyelidikan tersebut, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar antara RM13.2 juta hingga RM142.2 juta.
"Aliran keluar terbesar direkodkan pada Selasa, diikuti Isnin dengan RM103.3 juta, Khamis (RM85.0 juta) dan Rabu (RM34.4 juta) manakala Jumaat yang paling rendah," katanya dalam satu nota.
Firma penyelidikan itu berkata, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih tertinggi pelabur asing ialah pembinaan (RM107.4 juta), pengangkutan dan logistik (RM93.9 juta) dan REIT (RM12.1 juta).
Katanya, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM245.8 juta), penjagaan kesihatan (RM154.1 juta) dan utiliti (RM114.2 juta).
Institusi tempatan kata MBSB Research, namun mengakhiri jualan bersih mereka untuk minggu kedua berturut-turut, apabila mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM263.7 juta.
Sementara itu, peruncit tempatan meneruskan aktiviti belian bersih mereka untuk minggu keempat berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM114.4 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu. Pelabur asing dan peruncit tempatan mencatatkan pertambahan sebanyak 14.9% dan 2.8% masing-masing, manakala institusi tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 5.0%. - DagangNews.com








