KUALA LUMPUR 21 Julai — Pelabur asing meneruskan rentak jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM206.1 juta pada minggu lalu.
MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali Isnin dan Jumaat, dengan jumlah aliran keluar antara RM61.9 juta sehingga RM173.3 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, Rabu mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi, diikuti Selasa sebanyak RM88.3 juta, manakala Khamis merekodkan jumlah aliran keluar paling rendah.
Sementara itu, Isnin dan Jumaat mencatatkan aliran masuk bersih asing masing-masing sebanyak RM1.21 juta dan RM116.2 juta," kata firma berkenaan dalam nota kajiannya.
Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah pembinaan (RM199.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM102.1 juta) serta perkhidmatan dan produk industri (RM94.7 juta).
Tiga sektor pula mencatatkan aliran keluar bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM525.4 juta), teknologi (RM86.1 juta) serta perkhidmatan dan produk pengguna (RM71.8 juta).
MBSB Research berkata, institusi tempatan menukar pembelian bersih selama lapan minggu berturut-turut, dengan merekodkan jumlah aliran keluar sebanyak RM33.3 juta.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan aktiviti pembelian bersih mereka selama dua minggu berturut-turut, dengan aliran masuk sebanyak RM239.4 juta.
Firma penyelidikan tersebut berkata, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan pertambahan secara menyeluruh pada minggu lepas kecuali pelabur institusi tempatan.
Katanya, pelabur runcit asing dan tempatan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 6.9% dan 9.0%, manakala institusi tempatan merekodkan kemerosotan sebanyak 2.6%. - DagangNews.com








