KUALA LUMPUR 7 Julai — Pelabur asing meneruskan rentak belian mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM303.0 juta, pada minggu lalu.
MIDF Research berkata, ia merupakan kali pertama aliran masuk asing berlaku selama dua minggu berturut-turut sejak Mei 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Jumaat, dengan jumlah harian antara RM23.3 juta hingga RM112.6 juta.
"Khamis mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi, diikuti Selasa sebanyak RM106.8 juta manakala Jumaat merekodkan jumlah aliran keluar bersih RM6.0 juta," katanya.
"Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM419.3 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM182.8 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM98.2 juta).
Tiga mencatatkan aliran keluar bersih asing iaitu penjagaan kesihatan (RM177.0 juta), telekomunikasi dan media (RM153.7 juta) serta perkhidmatan kewangan (RM78.9 juta).
MIDF Research berkata, institusi tempatan juga meneruskan pembelian bersih selama tujuh minggu berturut-turut, dengan jumlah aliran masuk sebanyak RM61.0 juta.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan trend jualan bersih selama dua minggu berturut-turut, dengan aliran keluar sebanyak RM363.9 juta, dua kali ganda lebih tinggi berbanding aliran keluar minggu sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh pada minggu lepas.
Katanya, institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 6.6% dan 36.2%, manakala pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak 8.2%. - DagangNews.com








