KUALA LUMPUR 9 Feb - Pelabur asing terus membeli ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM15 juta, menurut MBSB Research.
Firma itu berkata, mereka menjadi pembeli bersih pada Jumaat dengan RM132.3 juta, manakala aliran keluar terbesar pada Khamis iaitu RM64.8 juta diikuti Rabu (RM26.8 juta) dan Selasa (RM25.8 juta).
"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM162.0 juta), perladangan (RM37.0 juta) serta pembinaan (RM34.2 juta)," kata MBSB Research dalam notanya.
Sementara tiga sektor utama lain pula jelasnya, namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu teknologi (RM54.5 juta), hartanah (RM45.2 juta) serta utiliti (RM41.7 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan berubah apabila menyaksikan aliran keluar bersih iaitu RM36.2 juta, selepas dua minggu berturut-turut mencatatkan rentak belian.
Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan kembali menjadi pembeli bersih setelah sembilan minggu menjual, apabila mencatat jumlah aliran masuk RM21.2 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah menyusut dengan peruncit tempatan merosot 19.7%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing jatuh 17.7% dan 23.5%. - DagangNews.com








