KUALA LUMPUR 7 Feb - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), hasil kerjasama antara Kumpulan MMC dan APM Terminals, menandatangani perjanjian untuk membeli 58 kren gantri beroda elektrik (eRTG) daripada Shanghai Zhenhua Heavy Industry Co., Ltd. (ZPMC).
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, kontrak bersama ZPMC tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat bagi memastikan PTP terus dilengkapi dengan jentera-jentera termoden untuk menyokong permintaan pelanggan dan kekal sebagai hab penghantaran utama di Malaysia dan rantau ini.
"Pelaburan ini penting dalam menjamin ketersediaan dan keupayaan jentera eRTG dalam memenuhi perkembangan kapasiti, kestabilan operasi, kemampanan prestasi lapangan kontena dan penambahbaikan berterusan jentera-jentera eRTG sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian tersebut dimeterai dalam sebuah majlis yang berlangsung di PTP pada 3 Februari 2025, di antara Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman dan Naib Presiden ZPMC, Celilia Shen Qiu Yuan.

Hardiman berkata, inovasi dan penambahbaikan berterusan merupakan agenda utama dalam strategi pertumbuhan dan kemajuan pihak syarikat dan usaha naik taraf jentera membolehkan PTP untuk terus memberikan tahap perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.
Katanya, ia pada masa yang sama mengekalkan tahap keselamatan tertinggi yang ditetapkan pihak pengurusan syarikat dan juga memenuhi permintaan rangkaian GEMINI yang baharu.
"Dengan kren baharu, kami juga boleh mengurus permintaan pelanggan dengan lebih baik dan mengendalikan jumlah kargo yang lebih banyak, terutamanya di waktu puncak.
"Selain itu, kren elektrik baharu ini boleh diubah suai untuk berfungsi secara automatik sepenuhnya pada masa hadapan," ujarnya.
Bagi pihak ZPMC, Shen pula menyatakan penghargaan syarikatnya atas kepercayaan PTP dan turut mengulangi komitmen untuk menyerahkan jentera yang dipesan mengikut jadual.
Kesemua kren baharu tersebut dijangka dihantar dalam lima fasa, dengan penghantaran dijadualkan antara Mac dan Julai 2026.
PTP telah berjaya mencatatkan beberapa rekod operasi sepanjang tahun 2024 seperti menjadi terminal kontena pertama di Malaysia mencatatkan kendalian melebihi 12.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu tahun.
Pencapaian itu merupakan sebahagian daripada prestasi cemerlang PTP yang turut berjaya mencatatkan kendalian melebihi satu juta TEU sebulan secara konsisten selama tujuh bulan berturut-turut sejak Mei 2024.
Selain itu, PTP turut mencapai pengiktirafan berprestij sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia oleh The World Bank dan S&P Global Market Intelligence dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena 2023 yang diumumkan pada awal Jun 2024 dan menduduki tempat ke-15 pelabuhan paling sibuk di dunia seperti dilaporkan oleh Lloyd’s List pada tahun yang sama. - DagangNews.com








