Pelabuhan Tanjung Pelepas catat rekod baharu urus 1.27 juta TEU pada Mei | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabuhan Tanjung Pelepas catat rekod baharu urus 1.27 juta TEU pada Mei

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 5 Jun – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), usaha sama antara Kumpulan MMC dan Terminal APM, mencatatkan rekod baharu dengan mengendalikan sebanyak 1.27 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada Mei 2025.

 

Pencapaian itu mengatasi rekod terdahulu iaitu 1.18 juta TEU pada Mac dan 1.21 juta TEU pada April, menjadikannya bulan ketiga berturut-turut PTP merekodkan jumlah tertinggi sejak beroperasi.

 

Pengerusi PTP, Che Khalib Mohamad Noh berkata, kejayaan itu mencerminkan dedikasi pasukan pelabuhan tersebut mengekalkan prestasi cemerlang walaupun berdepan cabaran global.

 

"Peningkatan 53,000 TEU berbanding April menunjukkan lonjakan luar biasa dan kami menjangkakan tahun ini akan menjadi lebih memberangsangkan.

 

"Pengurusan jumlah kargo besar secara lancar membuktikan keupayaan PTP memberi perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, kejayaan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan operasi pelabuhan, malah mencerminkan kerjasama erat dengan pelanggan utama termasuk inisiatif Gemini Cooperation antara Maersk dan Hapag-Lloyd.

 

"PTP berperanan penting sebagai hab Asia utama dalam kerjasama Gemini dan kami komited kekalkan produktiviti tinggi walaupun permintaan terus meningkat.

 

"Malahan, kestabilan perkhidmatan dan pematuhan jadual penghantaran sebagai teras kepada komitmen PTP kepada pelanggan.

 

"Pertumbuhan mampan PTP disokong pelaburan berfokus dalam naik taraf aset dan infrastruktur, sejajar dengan agenda alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), dasar keselamatan serta strategi pendigitalan syarikat.

 

"Fokus kami pada tenaga kerja, teknologi, dan proses dengan keselamatan sebagai nilai utama membentuk ketahanan dan iltizam kami," katanya.

 

Selain rekod bulanan, PTP mencatat pencapaian 178,679 gerakan dermaga dalam seminggu, 15,041 gerakan dalam syif 12 jam, dan 1,442 gerakan dalam sejam.

 

Pencapaian itu membuktikan keupayaan luar biasa dan kecemerlangan operasi terminal pelabuhan hasil disiplin dan penyelarasan tinggi.- DagangNews.com