KUALA LUMPUR 28 Mac – Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB) yang bakal menjadi hab logistik strategik bagi kargo domestik dan rentas sempadan, tidak berdepan dengan masalah bekalan air bagi pengendalian keperluan penyimpanan.
Pada masa yang sama, Inland Port Perlis giat mempertingkatkan kemudahan dan infrastrukturnya bagi menarik pelabur berpotensi ke pelabuhan darat tersebut.
IPPSB merupakan anak syarikat Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama dengan Menteri Besar Inc, dan diberi mandat membangunkan Perlis Inland Port menerajui perdagangan rentas sempadan dan meningkatkan daya saing logistik Malaysia dengan mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan rel melalui infrastruktur Rel Berkembar Malaysia yang bersambung dengan pelabuhan di pesisiran Selat Melaka.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad berkata penggunaan air di PIP adalah pada tahap minimum memandangkan operasi pelabuhan darat tersebut tidak melibatkan pemprosesan.
“Bagaimanapun PIP mempunyai tangki air bagi kegunaan dalaman disamping dua kolam takungan besar yang boleh dimanfaatkan yang berada di dalam sempadan PIP,” kata beliau kepada DagangNews.
Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Charles Santiago mendedahkan bahawa Perlis merekodkan kadar air tidak berhasil (NRW) tertinggi dalam negara iaitu kira-kira 62 peratus, diikuti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing merekodkan NRW sebanyak 50 hingga 58 peratus.


Kerajaan negeri berpendirian Perlis perlu mempunyai infrastruktur sedia termasuk penambahbaikan kualiti air dan perkhidmatannya untuk menarik pelabur asing ke Kawasan Pembangunan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).
Mengulas mengenai perancangan IPPSB, Wan Zaheed berkata pihaknya sedang berusaha menyediakan kemudahan untuk kargo bukan konvensional dalam bentuk pukal bagi kegunaan bijirin, produk bergas seperti gas petroleum cecair (LPG) dan gas asli cecair (LNG), derivatif petroleum, serta baja.
“Bermula Julai tahun ini, PIP akan menyaksikan proses peralihan aktiviti teras yang sama dari di Terminal Kontena Padang Besar (PBCT) ke PIP.
“Menjelang September, kami akan menyediakan produk petroleum dan keupayaan pergudangan dengan sebuah gudang interim. Menjelang awal tahun depan sebuah lagi gudang dengan kerjasama syarikat logistik berpengkalan di Pulau Pinang,” jelas beliau lagi.
Wan Zaheed berkata syarikat tersebut berhasrat meyakinkan pengeluar barangan pengguna cepat laris (FMCG) serta syarikat automotif untuk menggunakan kemudahan PIP.
“Kita sudah memulakan usaha perbincangan dengan beberapa pengeluar kereta dan kami juga sedang berbincang dengan Gas Malaysia untuk memanjangkan sistem paip retikulasi gas LPG ke PIP supaya kami boleh menyediakan gas asli untuk trak Thailand yang beroperasi secara dwi minyak, iaitu diesel dan gas,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, PIP berperanan sebagai hab penting logistik untuk pengendalian kargo domestik dan rentas sempadan di rantau ini dan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 500 ekar dengan kemudahan pelabuhan darat yang lengkap dan infrastruktur terkini dan mempunyai kapasiti pengendalian kargo.
Lokasi PIP yang strategik di sempadan Malaysia-Thailand memudahkan operasi multimodal yang cekap, termasuk pengendalian muatan, pemunggahan dan pemindahan barang secara lancar antara keretapi dan pelbagai mod pengangkutan lain.
Fasa pertama PIP sedang dalam pembinaan dan dijadualkan siap pada Julai tahun ini. Di bawah Fasa 1, PIP dijangka berupaya mengendalikan 300,000 bersamaan 20 kaki (TEU) setahun berbanding 130,000 TEU setahun masa kini di PBCT.
Pembangunan PIP akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan keseluruhan kapasiti akan berupaya menggendalikan 1 juta TEU setahun.
Peningkatan kapasiti itu juga dijangka memberikan impak besar terhadap kelancaran operasi pengangkutan kargo antara Malaysia dan Thailand. Ini akan memberi kesan kepada peningkatan nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kepada AS$30 bilion menjelang 2027.
PIP juga bakal menawarkan perkhidmatan bernilai tambah seperti aktiviti pergudangan, penyimpanan, serta pusat pengumpulan dan pengedaran barangan, menjadikannya destinasi utama bagi perdagangan rentas sempadan. - DagangNews.com








