KUALA LUMPUR 16 Jan - Pegangan saham asing di Bursa Malaysia mampu meningkat melepasi paras 25%, malah berpotensi mencecah 30% dalam tempoh sederhana, menurut Rakuten Trade Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu memberikan isyarat keyakinan baharu kepada Bursa Malaysia.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, julat 25% hingga 30% boleh dicapai memandangkan pegangan asing di Bursa Malaysia secara sejarahnya pernah berada pada paras tersebut.
Katanya, dana asing hanya mula menjauhi pasaran Malaysia sejak sedekad lalu, menyebabkan pegangan asing menyusut daripada sekitar 25% kepada bawah 20%.
“Sehubungan itu, kami boleh mengesahkan bahawa lebih ramai pelabur asing jangka panjang telah kembali ke pasaran, manakala sebahagian besar penjual sebelum ini hanyalah ‘pelabur harian’,” katanya pada sesi taklimat prospek pasaran suku pertama Rakuten Trade hari ini.
Kenny berkata, pegangan asing kekal relatif berdaya tahan sekitar 19% walaupun pasaran berdepan tempoh aliran keluar bersih yang ketara, sekali gus menunjukkan kemasukan semula pelabur asing berorientasikan jangka panjang.
Menurutnya, pemulihan penyertaan pelabur asing akan menjadi undi keyakinan yang kukuh terhadap pasaran modal Malaysia dan berpotensi membantu meningkatkan permodalan pasaran secara keseluruhan dalam jangka panjang.
Data Rakuten Trade menunjukkan pegangan saham asing berada pada 19.24% pada Januari 2025 dan mengalami pergerakan kecil dalam bulan-bulan berikutnya, susut kepada 19.17% pada Februari sebelum meningkat kepada 19.40% pada Mac.
Pegangan itu menurun kepada 19.15% pada April, meningkat kepada 19.89% pada Mei dan berada pada 19.30% pada Jun. Ia kemudiannya susut kepada 18.84% pada Julai sebelum meningkat semula kepada 19.02% pada Ogos.
Pada September, pegangan asing buat seketika melepasi paras 20% kepada 20.60%, sebelum kembali sederhana kepada 19.50% pada Oktober dan 19.05% pada November.
Penganalisis pasaran melihat trend kemasukan semula pelabur asing ini sebagai petanda positif terhadap daya tarikan pasaran ekuiti tempatan, terutamanya jika disokong oleh kestabilan makroekonomi dan prospek pertumbuhan pendapatan korporat yang mampan. - DagangNews.com








