Pasaran sektor hartanah dijangka peroleh momentum pada 2H dipacu pemotongan OPR — UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran sektor hartanah dijangka peroleh momentum pada 2H dipacu pemotongan OPR — UOBKH

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Julai — Pasaran sektor hartanah tempatan dijangka memperoleh semula momentum pada separuh kedua dipacu pemotongan kadar dasar semalaman (OPR), kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan 25 mata asas itu menyusutkan kadar faedah dan menjana permintaan pasaran yang berdaya tahan secara besar-besaran.

 

Sektor berkenaan tambahnya, turut dibantu oleh pelbagai aktiviti diterajui pelaburan langsung asing (FDI) dalam pembangunan hartanah yang berorientasikan kepada segmen perindustrian dan transit.

 

"Kami mengunjurkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 10.3% tahun ke tahun (y-o-y) dan perolehan kira-kira 7.4% pada 2025 yang dibantu OPR lebih rendah," kata UOBKH Research dalam satu nota kajiannya.

 

Selain itu, ia menganggarkan bahawa pemotongan kadar boleh meningkatkan pendapatan pemaju pada 2026 secara sederhana, dengan SP Setia Berhad berpotensi memperoleh 2% dan Sunway Berhad sebanyak 1%.

 

Sementara Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) pula dijangka menokok sebanyak 0.5 peratus, berdasarkan pendedahan hutang kadar terapung antara sebanyak 40 peratus hingga 60 peratus.

 

UOBKH Research turut menjangkakan bayaran balik bulanan untuk gadai janji kadar terapung boleh turun sebanyak 3.4 peratus berdasarkan pinjaman RM500,000 dan meningkatkan tahap kemampuan pembeli.

 

Pemaju juga mula meningkatkan projek baharu di Johor, terutama sekitar Bukit Chagar, dengan projek akan datang termasuk Sunway Majestic oleh Sunway Berhad dan M Grand Minori oleh Mah Sing Berhad.

 

“Secara keseluruhan, peningkatan pelancaran 2HFY25 harus diserap baik oleh permintaan mantap dan kurang spekulatif, disokong kemajuan prasarana ketara yang meningkatkan ketersambungan," katanya.

 

Aktiviti perindustrian yang semakin berkembang disokong oleh kerajaan Singapura dan Johor di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut membantu pertumbuhan sektor hartanah tempatan.

 

Justeru, UOBKH Research mengekalkan penarafan 'overweight' kerana pasaran mendapat banyak manfaat daripada pemacu struktur seperti golongan pembeli rumah kali pertama dan kenaikan gaji minimum.

 

Segmen perumahan pasaran besar kekal berdaya tahan, dengan pemaju seperti Mah Sing, Matrix Concepts Holdings Bhd, Lagenda Properties Bhd dan EcoWorld Malaysia menawarkan harga di bawah RM700,000.

 

Dari segi segmen perindustrian, firma penyelidikan itu melihat permintaan secara berterusan untuk tanah di sekitar Johor walaupun terdapat kelewatan dalam beberapa transaksi pembinaan pusat data.

 

"Kami jangka IOI Properties Bhd akan menamatkan jualan seluas 300 ekar di Kulai menjelang suku ketiga, serta potensi dalam kalangan syarikat terdedah tema Iskandar 2.0," katanya. - DagangNews.com