KUALA LUMPUR 24 Feb - Paramount Corporation Bhd menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.5 bilion pada FY25 disokong lapan projek termasuk fasa baharu pembangunan sedia ada, kata TA Securities.
Katanya, pada tahun ini, Co-labs Coworking menyasarkan untuk mengembangkan jejaknya dengan dua lokasi baharu sambil meningkatkan penghunian secara aktif merentas semua ruang sedia ada.
"Sementara itu, Scalable Malaysia menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam reka bentuk dan membina perniagaannya, mengukuhkan lagi prestasi kewangan segmen itu," katanya dalam atu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat kepada RM102.44 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM82.83 juta setahun lalu.
Hasil bagi tahun itu juga meningkat kepada RM1.04 bilion berbanding RM1.01 bilion, disebabkan terutamanya oleh pendapatan pelaburan dan keuntungan daripada segmen lain.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24), keuntungan bersihnya meningkat kepada RM54.11 juta daripada RM28.20 juta setahun lalu.
Hasil meningkat kepada RM361.08 juta berbanding RM309.35 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan dalam pelaburan, hartanah dan segmen lain.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil Co-labs Coworking melonjak 80% kepada RM23.5 juta pada FY24, didorong pertumbuhan 252% hasil reka bentuk dan binaan Scalable Malaysia.
Sementara itu, Co-labs Coworking menyaksikan peningkatan hasil sebanyak 35%, disokong oleh ruang yang diperluaskan di IOI Mall Damansara dan lokasi baharu di Ken TTDI dan The Five di Kuala Lumpur.
"Bagaimanapun, untung kasar merosot kepada RM1.1juta (FY23: RM2 juta) disebabkan kerugian permulaan daripada ruang baharu dan perbelanjaan susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi untuk Menara Naza," katanya.
TA Securities mengekalkan saranan "beli" pada Harga sasaran RM1.68 sesaham. - DagangNews.com








