KUALA LUMPUR 4 Ogos — Pansar Berhad menyasarkan untuk terlibat dalam banyak projek infrastruktur awam berskala besar yang dibiayai terus oleh kerajaan Sarawak di bawah belanjawan negeri 2025.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk James Tai Cheong berkata, sebanyak 62% atau RM6.76 bilion daripada RM10.9 bilion perbelanjaan pembangunan negeri dalam 2025 untuk projek infrastruktur luar bandar.
Langkah besar itu katanya, mencerminkan komitmen kuat kerajaan Sarawak sendiri untuk meningkatkan kesalinghubungan kawasan darat dan menaik taraf infrastruktur bagi kepentingan masyarakat terbabit.
"Fokus berterusan ini terus menjana peluang perniagaan ketara," katanya dalam laporan tahunan 2025 syarikat itu dengan buku tempahan segmen pembinaan dan prasarananya kekal kukuh pada RM2.2 bilion.
Tambah James, dalam 12 bulan berakhir 31 Mac 2025, Pansar, melalui anak syarikat miliknya iaitu Perbena Emas Sdn Bhd, memperoleh beberapa kontrak infrastruktur baharu yang bernilai RM2.1 bilion.
Ini katanya, termasuk kerja-kerja infrastruktur Pakej 2 Transit Pantas Autonomi Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dengan nilai RM805 juta serta Jalan Link Sarawak-Sabah sebanyak RM777 juta.
Kumpulan berkenaan kata beliau, turut terlibat dalam reka bentuk dan pembinaan lebuh raya Serian-Gedong-Samarahan bernilai RM478 juta, yang dijadualkan untuk pelaksanaan antara FY25 dan FY28.
"Pansar memperoleh Perbena Emas dengan harga RM151 juta pada 2021 dan dijadikan subsidiari milik penuh untuk tujuan mempelbagaikan perniagaan ke dalam industri pembinaan negeri," tambahnya.
Pada FY25, segmen pembinaan dan infrastruktur kekal penyumbang pendapatan terbesar Pansar, iaitu RM505.8 juta atau 45.8% daripada hasil kumpulan sebanyak RM1.1 bilion, naik 13.2% berbanding FY24.
Melihat ke hadapan, James optimis dengan pertumbuhan secara berterusan industri pembinaan dan infrastruktur besar, terutamanya dalam projek sektor awam di seluruh negeri berkenaan setakat ini.
Beliau memberikan contoh, untuk melaksanakan projek KUTS Blue-Line, Perbena Emas telah menubuhkan usaha sama 51:49 dengan China Road & Bridge Corp untuk membentuk syarikat PESB CRM JV Sdn Bhd.
"Memanfaatkan pandangan positif, kami akan terus aktif mengisi semula buku tempahan dan mengukuhkan keupayaan pelaksanaan kami untuk memanfaatkan peluang projek baharu yang akan datang," katanya.
Kumpulan itu juga menjangka untuk mengharungi keadaan yang lebih mencabar dibentuk oleh persaingan pasaran semakin tinggi, ketidaktentuan global dan kesan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan.
James berkata faktor-faktor tersebut dijangka memberi tekanan ke bawah terhadap sentimen pengguna kerana pasaran mengamalkan sikap tunggu dan lihat, yang mungkin menjejaskan keuntungan Pansar.
Justeru, syarikat itu merancang untuk memacu pertumbuhan jualan melalui usaha pasaran disasarkan dan penglibatan pelanggan, serta mengguna pakai perkhidmatan pengurusan inventori yang lebih ketat.
“Melalui langkah-langkah ini, Pansar pada kedudukan untuk menyesuaikan diri dengan tekanan luaran sambil membina perniagaan lebih tangkas, dan mengutamakan pelanggan,” tambah beliau. - DagangNews.com








