Pak Lah masak sendiri juadah istimewa untuk tetamu, pemimpin tulen berjiwa rakyat | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pak Lah masak sendiri juadah istimewa untuk tetamu, pemimpin tulen berjiwa rakyat | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Mohd Fudzail bersama Pak Lah di New Zealand pada 1983 - Gambar koleksi peribadi Fudzail

Pada suatu senja sejarah yang terlipat dalam ingatan, tahun 1983 menjadi saksi pertemuan pertama saya dengan seorang tokoh yang kelak dikenang sebagai negarawan berjiwa lembut—Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

 

Waktu itu, bumi Wellington dingin diselimuti kabut awal musim sejuk, namun suasana di hotel dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand begitu hangat dengan kehadiran beliau yang pada ketika itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

 

Turut hadir ialah Dato’ Abdul Halim, Pengarah MSD, serta barisan pelajar Malaysia yang sedang menimba ilmu di pelusuk bumi Aotearoa.

 

Saya, ketika itu hanyalah seorang pelajar Tingkatan Tujuh di Wainuiomata College. Belum lagi menjejak kaki ke menara gading, namun sudah punya keberanian menadah soalan demi soalan kepada menteri yang hadir.

 

Topik saya ketika itu berkisar soal universiti—kerana beliau Menteri Pendidikan—namun aliran perbualan akhirnya mengalir ke arah kehidupan di New Zealand, tentang perbezaan budaya, persekitaran dan impian-impian anak perantau.
 

Malam itu, bukan hanya Tun Abdullah yang hadir. Turut serta ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah.


 

parafrasa
Penulis bersalaman dengan Tun Dr Mahathir di New Zealand pada 1983.

 


Saya masih ingat bagaimana Tun Hasmah memandang wajah saya lalu bertanya dengan senyuman:

"You bukan Johari, adik Najib?"

Saya tergamam. "Bukan. Kenapa, Tun?"

"You sebiji macam dia. Muka seiras betul."

Kami tertawa bersama. Aneh sekali dunia ini, kadangkala wajah boleh menipu nasab.

 

Malam itu berlangsung dengan penuh kemesraan. Saya sempat berbual-bual dengan Tun Mahathir dan para menteri lain.

 

Meskipun hanya seorang pelajar, saya tidak rasa kecil. Mungkin kerana aura keibubapaan dan sikap mesra Tun Abdullah yang begitu menenangkan. Tidak ada keangkuhan, tiada kekakuan birokrasi. Hanya manusia kepada manusia.

 

Tahun-tahun berlalu seperti ombak menyapu pasir pantai. Setelah Tun Abdullah bersara dari jawatan Perdana Menteri, saya, yang ketika itu sudah bergelar penulis, menghubungi beliau bagi tujuan menulis trilogi travelog remaja berjudul Wainuiomata, Rowyeo dan Aotearoa.

 

Saya memohon agar beliau menulis prakata kepada karya tersebut. Tanpa banyak soal, beliau bersetuju.

 

Tulisnya: “Trilogi travelog yang memaparkan kecekalan, keyakinan serta kesungguhan seorang anak Melayu untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan.”

— Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia

 

Meskipun tulisan pengenalan itu tidak sempat diterbitkan sewaktu hayatnya, keizinan dan kata-kata penghargaan dari beliau kekal menjadi semangat yang membara dalam sanubari saya.

 

Beberapa tahun kemudian, saya mendengar khabar dari rakan-rakan bahawa Tun Abdullah sedang mencari calon CEO untuk sebuah projek stesen TV baharu. Beliau akan ke Abu Dhabi dan bersedia menemu duga saya di sana. Saya  sebagai bekas staf TV3 Malaysia mmerasa terpanggil dan ingin mencuba nasib.

 

Pada waktu itu, saya sudah pun menjawat jawatan CEO sebuah syarikat pembinaan dan hiasan dalaman di Emiriah Arab Bersatu, khususnya dalam projek-projek pembinaan rumah warga Emirati dengan nilai mencecah lima belas juta dirham.

 

Pertemuan kami di hotel itu sangat bersahaja. Pak Lah—saya lebih selesa memanggil beliau begitu—agak terkejut apabila mengetahui latar belakang saya dalam bidang Sains Komputer dan Statistik, serta pengalaman profesional dalam industri IT, telekomunikasi dan kejuruteraan. Beliau seakan kagum melihat bagaimana saya melompat dari dunia digital ke dunia konkrit dan seni hiasan dalaman.

 

Selesai temuduga, kami terus berbual panjang. Bicara kami menjalar ke kisah-kisah politik, pengalaman beliau sebagai pemimpin tertinggi negara, serta pandangan beliau tentang masa depan media Islam.

 

Tak lama kemudian, saya dimaklumkan bahawa saya telah dipilih sebagai CEO untuk projek stesen TV tersebut, dan diminta pulang ke Kuala Lumpur.

 

Dengan semangat membara, saya kembali ke tanah air. Saya dan rakan-rakan mula menyusun kertas cadangan, melakukan penyelidikan, serta merancang untuk melawat stesen TV Islamik di Turki, Amerika Syarikat, United Kingdom dan juga UAE. Waktu itu belum wujud stesen TV berorientasi Islamik di Malaysia. Ini adalah satu langkah yang radikal dan idealistik, dan kami percaya, ia perlu.
 

 

parafrasa

 

 

Pak Lah mendengar semua cadangan kami dengan teliti dan memberi restu. Namun, sebagai seseorang yang sudah lama terbiasa menentukan haluan sendiri dalam dunia korporat, saya mulai rasa kurang selesa dengan kekangan-kekangan yang wujud dalam struktur baharu ini.

 

Akhirnya saya melepaskan jawatan dan kembali semula ke Dubai, menyambung kerja-kerja yang saya tinggalkan.

 

Takdir membawa saya kembali ke Kuala Lumpur dalam peranan yang berbeza—sebagai pengurus besar dan kemudiannya CEO kepada Yusuf Islam, dahulu dikenali sebagai Cat Stevens.

 

Kami merancang penubuhan sebuah sekolah agama di ibu kota. Bahkan, beberapa pertemuan telah diatur bersama Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan, yang bersetuju memperuntukkan sebuah premis sekolah sedia ada.
 

 

parafrasa
Sewaktu mengadap DYMM Agong di Istana Negara


 

Kami juga bertemu Tun Mahathir, Pak Lah, dan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib.

 

Kerajaan melalui Tan Sri Muhyiddin, selaku Timbalan Perdana Menteri, telah menyatakan sokongan dan kesediaan memberi peruntukan.

 

Namun malang sekali, Yusuf menarik diri atas sebab-sebab peribadi, dan projek sekolah itu terbengkalai. Namun saya tidak kecewa.

 

Masak sendiri

Yang membekas di hati adalah saat kami dijemput ke kediaman Pak Lah. Saya masih ingat, beliau sendiri memasak satu lauk istimewa untuk kami pada hari itu—satu kenangan kecil yang besar maknanya.

 

Beberapa minggu kemudian, saya dan rakan-rakan kembali ke rumah rasmi beliau untuk sesi minum petang. Ada teh tarik, kuih-muih, dan perbualan yang penuh keikhlasan. Tiada jurang antara pemimpin dan rakyat.

 

Itulah Pak Lah—seorang pemimpin yang tidak pernah menjauhkan diri daripada manusia biasa.

 

Kini, setelah beliau pergi menghadap Ilahi, saya hanya mampu mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan para mukminin yang dirahmati. Segala jasa dan budinya dalam dunia pendidikan, politik dan kemanusiaan tidak akan saya lupakan.

 

Beliau bukan sahaja pernah menjadi Perdana Menteri negara, tetapi juga pernah menjadi sebahagian daripada kisah hidup saya, menyulam kenangan dan membina harapan.

 

Semoga Allah merahmati rohmu, Pak Lah. Al-Fatihah. - DagangNews.com