KUALA LUMPUR 24 Julai — PageGroup, salah satu firma pengambilan pekerja ternama di dunia, secara rasmi membuka Pusat Perkhidmatan Kongsi (SSC) baharu untuk Asia Pasifik di Kuala Lumpur hari ini.
Syarikat itu berkata, pembukaan hab tersebut menandakan penerokaan pertamanya ke dalam ruang SSC di Malaysia dan turut mencerminkan pelaburan strategik jangka panjang dalam landskap bakat negara.
Pusat itu menyediakan perkhidmatan perniagaan penting termasuk kewangan, teknologi maklumat (IT), pemasaran dan fungsi sumber manusia, bagi menyokong kehadiran PageGroup di rantau Asia Pasifik.
"Beroperasi seiring dengan SSC sedia ada di Barcelona, Sepanyol dan Buenos Aires, Argentina, hab di Kuala Lumpur itu turut menawarkan model perkhidmatan terkini," katanya dalam satu kenyataan.
PageGroup yang disenaraikan dalam bursa saham London itu berkata, ia membolehkan pasukan global syarikat menyampaikan rumusan bakat yang lancar kepada pelanggan dan calon di seluruh dunia.
Sebagai sebahagian daripada fasa pertama, lebih 100 peranan kerja, mewakili kira-kira 75% daripada fungsi Perkhidmatan Perniagaan Global yang menyokong Asia Pasifik, terletak di Kuala Lumpur.
Peranan ini merangkumi peringkat kanan, pakar dan kepimpinan, serta adalah penting dalam memacu kecemerlangan operasi untuk Asia, yang menyumbang 16 peratus daripada keuntungan kasar kumpulan.
"Pelantikan utama PageGroup Asia Pasifik, termasuk Pengarah, Ketua Pemasaran, Ketua Pesanan kepada Tunai, Pengurus Kanan Rakan Perniagaan dan Ketua Pasukan Perkhidmatan Teknologi Global," katanya.
Kesemua jawatan itu tambahnya, memainkan peranan penting dalam memajukan transformasi digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI), prestasi kewangan dan ketangkasan operasi di rantau ini.
Katanya, dengan menunjang fungsi strategik ini di Malaysia, PageGroup dijangka mampu memperkukuh keupayaan serantaunya sambil mencipta peluang kerjaya berimpak tinggi untuk bakat tempatan.
SSC Kuala Lumpur juga direka untuk pertumbuhan masa depan, dengan perancangan mengembangkan fungsi serantau dan peranan kepimpinan sejajar dengan keperluan perniagaan yang berkembang.
"Ini peristiwa penting untuk kami. Hab baharu ini adalah bahagian penting dalam strategi global kami meningkatkan kecekapan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Global, PageGroup, Nicholas Kirk.
Malaysia tambahnya, menawarkan infrastruktur, persekitaran perniagaan dan pemikiran fokus masa depan yang diperlukan dan berharap untuk berkembang bersama rantau ini pada tahun akan datang.
PageGroup hadir di Malaysia, melalui jenama Michael Page, sejak 2010, menghubungkan bakat terbaik dengan peluang kerjaya, dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab perkhidmatan serantau.
Sektor SSC di Malaysia mengalami pertumbuhan teguh, dengan lebih 440 SSC pada 2024, meningkat 3% daripada 2023 dan menjadikan Malaysia hab SSC ketujuh terbesar di dunia. - DagangNews.com








