Padini diyakini tingkatkan margin pada 2QFY26 dipacu penyusutan nilai yuan China - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Padini diyakini tingkatkan margin pada 2QFY26 dipacu penyusutan nilai yuan China - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — Penyusutan kadar nilai yuan China berbanding mata wang ringgit diyakini dapat meningkatkan margin Padini Holdings Berhad pada suku kedua tahun depan, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kira-kira 60 peratus daripada produk jualan Padini berasal dari China, disebabkan oleh kepelbagaian jenis yang memang tersedia di pasaran negara berkenaan sendiri.

 

Tambahnya, pihak pengurusan kumpulan peruncitan berkenaan turut mengakui bahawa susut nilai yuan sejak beberapa bulan lalu, akan membawa kepada manfaat kos produk import China yang lebih rendah.

 

"Perolehan Padini selama ini adalah dalam denominasi ringgit kerana semua produk diperoleh mereka perlu melalui ejen-ejen tempatan sebelum dijual," kata TA Securities dalam satu nota kajiannya.

 

Ia mengandaikan ringgit terus kukuh berbanding yuan, yang potensi peningkatan margin dari 2QFY26 dan tempoh seterusnya, memandangkan inventori semasa diperoleh empat hingga enam bulan lebih awal.

 

Sementara itu kata firma tersebut, kedudukan kredit kumpulan yang amat baik dan jumlah tempahan lebih besar memberikannya kuasa tawar-menawar lebih baik dengan pembekal berbanding pesaingnya.

 

Secara keseluruhannya, TA Securities mengunjurkan margin keuntungan kasar Padini yang lebih tinggi sebanyak 38.1 peratus pada tahun kewangan 2026 iaitu peningkatan 1.6 peratus tahun ke tahun (YoY).

 

"Prestasi itu berdasarkan hasil pada 9MFY25 dan keuntungan teras meningkat masing-masing sebanyak 5.6% dan 22.9% YoY didorong jualan dalam kedai dan campuran jualan yang bertambah baik," katanya.

 

Jualan dalam kedai meningkat sebanyak 6.8 peratus YoY kepada RM1.5 bilion, dengan segmen kanak-kanak berjaya merekodkan pengembangan kira-kira 1.0 peratus dalam sumbangan kepada 17 peratus.

 

TA Securities mengaitkan sebahagian daripada peningkatan tersebut bukan sahaja disebabkan faktor perbelanjaan yang didorong oleh perayaan tetapi kepada kejayaan pengenalan produk hak cipta.

 

Berdasarkan perkembangan positif tersebut, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas Padini dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.50 sesaham. - DagangNews.com