KUALA LUMPUR 5 Feb – Oxford Innotech Berhad (OXB) terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pusat data apabila anak syarikatnya, CG Solutions Enterprise Sdn Bhd menerima kontrak kedua daripada pelanggan sama dalam tempoh tiga minggu.
Kontrak bernilai RM4.8 juta itu membabitkan pembekalan infrastruktur keluli kritikal dan komponen logam presisi untuk sistem pengurusan aliran udara canggih, dengan pengguna akhir merupakan salah satu platform awan dan e-dagang terbesar dunia.
Pengarah Urusan OXB Ng Thean Gin berkata projek kedua ini adalah petanda keyakinan pelanggan terhadap kemampuan teknikal dan keupayaan kumpulan.
"Dengan kontrak RM4.8 juta ini, jumlah kontrak berkaitan pusat data yang diperoleh setakat ini meningkat kepada RM9.6 juta. Kami juga sedang berusaha mendapatkan kelayakan bagi komponen presisi lain untuk pelbagai produk pelanggan, dengan matlamat membuka lebih banyak peluang pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan.
Kontrak ini dijangka bermula bulan ini dan siap menjelang akhir 2026 yang akan menyumbang positif kepada pendapatan syarikat.
OXB, yang disenaraikan di ACE Market Bursa Malaysia pada 29 Julai 2025, mengumpul RM41.6 juta untuk pengembangan kapasiti dan peningkatan keupayaan bagi menyokong pertumbuhan masa depan.
Syarikat berpusat di Pulau Pinang itu menawarkan rumusan kejuruteraan bersepadu, termasuk komponen presisi, pemasangan mekanikal serta automasi dan robotik, dengan pelanggan terdiri daripada pengeluar dan pemasang multinasional serta tempatan dalam industri semikonduktor, elektronik, automotif, dan sistem bangunan modular. - DagangNews.com








