KUALA LUMPUR 14 Julai — Harga tawaran awam permulaan (IPO) Oxford Innotech Berhad sebanyak 29 sen sesaham dinilai wajar menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia adalah berdasarkan kepada dagangan syarikat berpusat di Pulau Pinang itu pada 13.1 kali ganda pendapatan masa lalu dan 14 kali ganda pendapatan jangkaan 2026.
Penilaian berkenaan tambahnya, turut mengambil kira rekod prestasi syarikat berkenaan yang kukuh, dengan rangkaian produk dan perkhidmatan amat baik serta pasukan pengurusan berpengalaman luas.
"Oxford Innotech memiliki rekod prestasi yang teguh dalam menyampaikan rumusan kejuruteraan bermutu tinggi kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa," kata TA Securities dalam satu nota kajiannya.
Syarikat itu yang akan disenaraikan pada 20 Julai 2025, telah diasaskan pada 2002, terlibat dalam pembuatan komponen ketepatan industri semikonduktor, elektronik, automotif dan bangunan modular.
Ia turut menawarkan perkhidmatan sehenti meliputi pelbagai produk, termasuk reka bentuk, fabrikasi logam, pemesinan, pengacuan suntikan plastik, pemasangan produk serta rumusan automasi dan robotik.
Selain itu, ia diketuai oleh Pengarah Urusan, Ng Thean Gin, dengan pengalaman industri selama 27 tahun, bersama pasukan pengurusan mahir yang berpengalaman dalam operasi, kewangan dan pemasaran.
TA Securities namun menganggarkan kumpulan itu mencatatkan penurunan 15.4% dalam keuntungan teras kepada RM13.3 juta pada FY25, disebabkan hasil kukuh tahun lepas daripada projek bangunan modular.
“Bagaimanapun, kami percaya Oxford Innotech pulih pada tahun depan dengan unjuran pertumbuhan hasil sebanyak 9.5% dan 14.3% kepada RM14.6 juta dan RM16.7 juta masing-masing FY26 dan FY27," katanya.
Perkembangan itu katanya disokong oleh pelan pengembangan perniagaan dan prospek sihat industri yang berdasarkan kepada unjuran perubahan hasil sebanyak -8% (FY25), +10% (FY26) dan +12% (FY27).
IPO Oxford Innotech menyasarkan untuk mengumpul permodalan sehingga RM56.1 juta dengan RM41.6 juta daripada dana tersebut akan diperoleh menerusi saham baharu yang diterbitkan kepada orang ramai.
Sementara, bakinya akan disalurkan kepada pemegang saham sedia ada yang menjual saham mereka dengan Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin, dan ejen penempatan.
Kumpulan berkenaan merancang untuk memperuntukkan RM23.1 juta bagi tujuan pembinaan ruang kilang baharu di Pulau Pinang, dan RM11.2 juta untuk pembelian atau pembiayaan semula jentera baharu.
Ia juga merancang menambah 3,660 meter persegi lagi kepada 7,970 meter persegi ruang pembuatannya menjelang suku ketiga 2025, yang dijangka siap dua kali pada 2027. - DagangNews.com








