KUALA LUMPUR 30 Julai — Orkim Berhad memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi membiayai pengembangan armada dengan kapal tangki baharu.
Syarikat perkapalan minyak dan gas yang dimiliki sepenuhnya oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) itu berhasrat mahu menerbitkan 100 juta saham baharu dan menjual sehingga 300 juta saham sedia ada.
Tambahnya, IPO berkenaan mewakili sebanyak 40 peratus daripada modal saham terbitan Orkim yang diperbesarkan, namun kumpulan itu tidak menyatakan anggaran nilai keseluruhan tawaran tersebut.
"Ia akan merangkumi peringkat institusi dan runcit, dengan harga IPO akhir ditetapkan pada harga runcit petunjuk yang lebih rendah atau harga institusi ditentukan melalui pembinaan buku," katanya.
Kumpulan tersebut menyatakan, langkah penerbitan IPO itu dijangka membolehkan ia memperoleh sejumlah kapal yang berusia lebih muda, dengan saiz kapasiti besar dan peranan serba boleh.
Terdahulu, Ekuinas pernah dilaporkan merancang penyenaraian Orkim, dengan menghubungi beberapa bank pelaburan tertentu untuk IPO yang boleh menilai potensi sahamnya sehingga mencecah RM1 bilion.
Setakat Jun 2025, Orkim mengendalikan armada sebanyak 17 kapal tangki yang terdiri daripada 15 kapal tangki keluaran petroleum bersih (CPP) dan dua kapal tangki gas petroleum cecair (LPG).
Bilangan tersebut menjadikannya sebagai pemain terbesar dalam segmen kapal tangki CPP domestik Malaysia dan ia merancang untuk memperoleh lagi sehingga tiga kapal baharu antara 2025 dan 2026.
Dianggarkan 80 peratus perolehan daripada IPO itu akan disalurkan kepada pemerolehan kapal manakala baki dana akan diperuntukkan kepada modal kerja (9%) dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian (11%).
Lima pelanggan teratas Orkim menyumbang 96 peratus kepada pendapatannya termasuk PETRONAS, Petron Malaysia, Boustead Petroleum Marketing, dan Nippon Gas Line Co Ltd yang berpangkalan di Jepun.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Orkim melaporkan keuntungan bersih RM92.91 juta atas hasil RM316.59 juta dengan menyasarkan nisbah pembayaran dividen antara 40 peratus dan 70 peratus.
Untuk meningkatkan keyakinan pelabur, Orkim akan mencari pelabur asas, kebiasaannya institusi besar seperti dana pencen dan penanggung insurans yang komited membeli saham sebelum proses pemasaran.
CIMB Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin bersama, dan penaja jamin pengurusan untuk IPO, manakala RHB Investment Bank ialah penaja jamin bersama. - DagangNews.com








