KUALA LUMPUR 29 Julai — Pengendali platform e-hailing, inDrive menafikan semua pemandunya tiada memiliki permit kenderaan e-hailing (EVP) dan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) yang sah.
Ketua negaranya, P Govin Kumaar berkata, perkara tersebut perlu diperjelaskan berikutan semalam kerajaan menyatakan yang mereka sebagai telah melanggar pelbagai syarat utama lesen operasinya di Malaysia.
Tambahnya, syarikat itu sebelum ini memang pernah menghadapi masalah pentadbiran dokumentasi EVP tetapi isu tersebut telah diselesaikan melalui kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
"Kami memandang serius perkara itu. Pada hari ini, kami boleh katakan dengan yakin bahawa semua pemandu yang aktif dalam sistem kami sudah pun mematuhi peraturan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, tempoh pemerhatian selama tiga bulan yang dikenakan oleh APAD tidak akan menjejaskan rancangan pengembangan inDrive, dan syarikat itu kekal dalam penglibatan dengan pengawal selia.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata firma e-hailing inDrive yang diasaskan Rusia, dan Maxim berisiko dibatalkan lesen jika gagal memastikan pemandu mematuhi keperluan utama.
Ini termasuk mendapatkan EVP setelah kedua-dua syarikat berkenaan didapati APAD masih lagi sengaja membenarkan pemandu mereka beroperasi tanpa permit tersebut, iaitu syarat utama lesen operasi sah.
Sementara itu, Pengarah inDrive rantau Asia Pasifik, Mark Tolley berkata, syarikat pengangkutan awam berkenaan telah meningkatkan sistem teknologinya selaras isu pematuhan ditetapkan kerajaan.
“Kami telah bekerja secara berterusan sejak tiga bulan lalu dengan APAD, kementerian, pasukan data kami dan pasukan pembangunan produk kami di peringkat global untuk menambah baik sistem,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Operasi Pemandu, Azlan Anwar berkata, semua pemandunya tertakluk proses pengesahan sebelum diwartakan, dengan inDrive mengendalikan permohonan EVP bagi pihak mereka.
Beliau menambah, syarikat berkenaan turut menyasarkan untuk mempunyai sejumlah 40,000 pemandu aktif yang boleh beroperasi dengan memiliki permit sah menjelang akhir 2025 di seluruh Malaysia.
APAD sebelum itu, mengesyorkan pembatalan lesen inDrive dan Maxim pada April 2025, tetapi kedua-dua syarikat merayu serta diberi tempoh pemantauan tiga bulan bermula 24 Julai 2025. - DagangNews.com








