KUALA LUMPUR 30 Julai — Tasco Berhad diramalkan mampu menyerap permintaan lemah pasaran tempatan dengan diimbangi operasi perkhidmatan marin kukuh di luar negara, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, prestasi pengangkutan laut syarikat logistik berkenaan di peringkat antarabangsa masih lagi stabil dan membantu situasi permintaan yang agak perlahan di dalam negara.
Tambahnya, sebahagian besar perolehan kumpulan itu dilindungi daripada risiko yang berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS), dengan menyumbang kurang 5% daripada keseluruhan jumlah perolehannya.
"Keputusan pada tempoh 1QFY26 memenuhi jangkaan kami, dengan pemulihan margin mula terbentuk dan kami telah mengekalkan unjuran pendapatan tidak berubah," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Baru-baru ini, Tasco mencatatkan kemerosotan hasil 10.9% tahun ke tahun (YoY) disebabkan oleh operasi domestik lebih lemah, terutamanya di bahagian logistik kontrak yang menyusut 20.0% YoY.
Ia berikutan pemberhentian pengeluaran JinkoSolar dan di bahagian rantaian bekalan sejuk yang jatuh 21.7% YoY kerana perubahan keutamaan pengguna terhadap pelanggan rangkaian makanan segera terpilih.
Mengulas lanjut, MBSB Research bagaimanapun berkata, jumlah pengangkutan udara kumpulan itu di luar negara lebih lemah, namun telah diimbangi oleh prestasi positif pengangkutan laut yang cukup kukuh.
"Kami menjangkakan peningkatan selanjutnya dalam segmen logistik kontrak untuk tahun kewangan ini, didorong oleh faktor penambahan kepada asas pelanggannya baru-baru ini," kata firma berkenaan.
Ini tambahnya, berikutan keuntungan yang lebih baik daripada pelanggan aeroangkasa walaupun hasil daripada pengangkutan udara merosot 23.5% YoY disebabkan kekurangan penghantaran produk pengguna.
Berdasarkan perkembangan semasa ketika ini, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Tasco dengan harga sasaran yang juga tidak berubah kepada 68 sen sesaham. - DagangNews.com








