KUALA LUMPUR 17 Julai — Segmen perniagaan katering penerbangan Brahim's Holdings Berhad kembali aktif mencatatkan peningkatan seperti biasa dipacu operasi kumpulan yang semakin pulih.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikat berkenaan masih menunggu kesemua 38 syarikat penerbangan untuk kembali sepenuhnya menjadi pelanggan perkhidmatannya.
Dalam nada optimis, beliau menambah, kumpulan tersebut sedang meneroka lebih banyak lagi peluang perniagaan baharu yang berkaitan penyajian khususnya di negara-negara ramai masyarakat Islam.

"Alhamdulillah, dari segi operasi, kami sudah capai tahap pulang modal, dan apa-apa (perolehan) masuk selepasnya adalah bonus," kata Ibrahim kepada pemberita di Hotel Tenera, Bangi, Selangor hari ini.
Terdahulu, beliau menyertai hampir 200 warga kerja Brahim's Holdings meraikan ulang tahun ke-37 syarikat Bumiputera itu dengan bacaan surah Yasin sebelum memotong kek dan pulut kuning yang disediakan khas.
Beliau juga menyampaikan sumbangan RM250,000 kepada Food Aid Foundation yang diwakili pengasasnya, Rick Chee, bagi menyokong inisiatif keselamatan makanan dan menangani isu kelaparan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, kumpulan itu sedang memuktamadkan dua lagi syarikat penerbangan baharu yang berpangkalan di rantau Asia Timur selain mengekalkan beberapa operator udara terkenal.
"Setakat ini, pelanggan paling utama kami ialah Qatar Airways dari Qatar, diikuti gergasi Emirates dari Emiriah Arab Bersatu, selain Turkish Airlines dari Türkiye dan Japan Airlines dari Jepun," tambah beliau.
Di samping itu, Ibrahim membayangkan kumpulan itu membuka fasiliti dapur baharu di luar negara secara usaha sama dan sekiranya perbincangan berjalan lancar, ia akan diumumkan pada Oktober 2025.

Kemudahan berkenaan kata beliau, mampu menawarkan menu halal kepada banyak pelanggan di negara terbabit seperti restoran bagi memenuhi permintaan yang tinggi dari penduduk dan pelancong Muslim.
Antaranya, pasaran Asia Tenggara yang merupakan rantau paling ramai komuniti Muslim di dunia, dengan potensi permintaan besar daripada hampir 300 juta orang, lebih tinggi berbanding Asia Barat sendiri.
Setakat ini tambah Ibrahim, kumpulan itu sudah menjalinkan kerjasama melibatkan empat restoran di Jepun melibatkan usaha sama bersama dengan sebuah hotel di negara tersebut lebih setahun lalu.
"Kita memang merancang untuk mengembangkan lagi kerjasama ini sebab hotel berkenaan merupakan rangkaian yang besar dengan mempunyai pula ramai pelanggannya beragama Islam," kata beliau.

Ditanya mengenai isu status halal, Ibrahim menegaskan Brahim's Holdings tidak pernah berkompromi dengan perkara berkenaan sejak operasinya bermula pada 1988 walaupun pelanggan bukan Islam.
Beliau memberikan contoh antara syarikat penerbangan yang menjadi pelanggannya termasuk British Airways dan operator Barat itu sendiri tidak ada memohon hidangan haram dalam pesawatnya.
Ia juga kata Ibrahim, antara pelanggan pertama kumpulan berkenaan dan langkah ketat itu selaras dengan standard tinggi amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) yang ditetapkan Brahim's Holdings.
"Waktu itu, mereka pernah cuba minta menu sarapan pagi ada daging babi, tetapi kita tolak dan bertegas hanya menyediakan makanan halal. Kita tak buat apa-apa yang tidak halal," katanya. - DagangNews.com








