Omesti peroleh kontrak RM70.54 juta naik taraf sistem e-mahkamah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Omesti peroleh kontrak RM70.54 juta naik taraf sistem e-mahkamah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Feb - Anak syarikat Omesti Bhd, Formis Network Services Sdn Bhd yang dimiliki dengan pegangan 49%, memperoleh kontrak bernilai RM70.54 juta untuk menaik taraf sistem e-mahkamah.

 

Kontrak yang dinamakan sebagai projek e-mahkamah Fasa 3 itu, yang dianugerahkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, melibatkan pembangunan, pemasangan dan penyelenggaraan kemudahan ICT yang dinaik taraf bagi sistem e-mahkamah.

 

Omesti berkata, kontrak tersebut akan dilaksanakan selama tiga tahun, bermula 1 Mac 2025.

 

"Projek e-mahkamah Fasa 3 ini dianugerahkan tertakluk kepada kontrak rasmi yang akan dimeterai di antara kerajaan Malaysia dan Formis Network Services pada masa yang sesuai," kata Omesti dalam pemfailan bursa semalam.

 

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia, baki 51% dalam Formis Network Services dimiliki oleh Yayasan Anaho.

 

Perkhidmatan yang disediakan di bawah sistem e-mahkamah semasa termasuk sistem pengurusan kes, sistem pemfailan mahkamah dan pangkalan data keputusan mahkamah. - DagangNews.com