OCK Group diyakini jadi penerima manfaat utama daripada pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OCK Group diyakini jadi penerima manfaat utama daripada pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua - Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - OCK Group Bhd diyakini menjadi penerima manfaat utama daripada daripada pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua, kata Phillip Capital.

 

Katanya, pelantikan itu akan menyaksikan tambahan 3,000 tapak baharu akan disediakan bagi memacu nisbah penyewaan Malaysia kepada 1.6-1.7x berbadning 1.5x.

 

Firma penyelidikan itu berkata, OCK berpotensi mendapatkan 2,000 tapak baharu daripada U Mobile.

 

"Kumpulan itu sedang dalam tender untuk satu lagi projek MCMC untuk pembinaan infrastruktur telekomunikasi untuk kem pangkalan tentera, dengan potensi nilai kontrak RM80 juta," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada Disember 2024, kumpulan itu mengumumkan pelaburannya dalam Solarpack Suria Sungai Petani (3SP), pemaju, pemilik dan pengendali ladang solar 116MW.

 

Katanya, projek yang dianugerahkan di bawah program LSS3 pada 2022, disokong oleh perjanjian pembelian kuasa selama 21 tahun. Ini menambah portfolio OCK bagi 30 ladang solar dengan kapasiti gabungan 14MW.

 

"Perjanjian itu dijangka selesai pada suku kedua 2025, mengukuhkan segmen rumusan tenaga hijaunya, yang kini menyumbang 5% kepada hasil kumpulan.

 

"OCK kini sedang mengejar peluang di bawah program Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), menyasarkan kapasiti 200MW secara berperingkat selama lima tahun untuk menyokong operasi pusat data melalui akses tenaga pihak ketiga," katanya.

 

Phillip Capital mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 85 sen sesaham. - DagangNews.com