NUTP mohon kerajaan kembalikan kuota 300 liter subsidi petrol Budi95 kepada guru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NUTP mohon kerajaan kembalikan kuota 300 liter subsidi petrol Budi95 kepada guru

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap kerajaan dapat mengembalikan kuota subsidi petrol Budi95 sebanyak 300 liter kepada golongan guru bagi membantu meringankan kos pengangkutan yang ditanggung mereka.

 

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, guru sering menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa pelajar menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum di peringkat daerah mahupun kebangsaan.

 

"Ini bermakna mereka menggunakan kuota petrol bersubsidi sendiri bagi tujuan berkaitan sekolah," katanya kepada pemberita hari ini.

 

 

 

 

 

 

Sehubungan itu katanya, NUTP berharap kerajaan menimbang permintaan ini lebih-lebih lagi esok pada 16 Mei merupakan sambutan Hari Guru.

 

Aminuddin berkata demikian selepas majlis penghargaan guru anjuran NUTP di Dewan Al-Ansar, Seberang Jaya hari ini.

 

Beliau menambah, setiap hari, guru memandu pelajar untuk pelbagai aktiviti kokurikulum sama ada antara daerah atau peringkat kebangsaan.

 

Katanya, keadaan itu menyebabkan guru terpaksa menanggung sendiri kos penggunaan bahan api ketika melaksanakan tugasan rasmi sekolah.

 

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, NUTP akan terus memperjuangkan supaya kerajaan menggubal undang-undang perlindungan guru bagi memastikan golongan pendidik mendapat perlindungan sewajarnya ketika menjalankan tugas.

 

 

 

 

 

Katanya, langkah itu penting bagi melindungi guru daripada tindakan undang-undang oleh ibu bapa ketika mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik termasuk dalam aspek disiplin pelajar.

 

“Situasi seperti ini sering berlaku apabila guru mengambil tindakan mendisiplinkan pelajar dalam menjalankan peranan mereka sebagai pendidik,” katanya. - DagangNews.com