KUALA LUMPUR 2 Mei — Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menuntut supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat tindakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang didakwa bersikap antikesatuan.
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon turut menggesa agar sejumlah 17 ketua pegawai eksekutif (CEO) bank di negara ini disiasat pihak suruhanjaya tersebut kerana melanggar undang-undang pekerja domestik dan juga piawaian buruh antarabangsa.
Perkara tersebut antara desakan kesatuan berkenaan ketika melancarkan demonstrasi secara aman di hadapan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Putrajaya, semalam selama tiga jam bermula pukul 10 pagi bersempena Hari Pekerja 2025.
“Perhimpunan May Day ini adalah ungkapan aman serta sah bagi tuntutan pekerja dan pendirian kolektif menentang ketidakadilan. NUBE menyeru semua pekerja dan orang ramai menyokong gerakan ini dan berdiri dalam solidariti," kata beliau.
Artikel berkaitan: NUBE rancang perhimpunan Hari Pekerja di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya

Ribuan pekerja bank dari seluruh negara hadir dengan bertemakan 'Voice of the Voiceless' untuk menuntut keadilan, kebertanggungjawaban, dan pemulihan hak kesatuan sekerja, yang teruk diancam akibat diskriminasi oleh menteri berkenaan.
Solomon berkata, NUBE menganggap Steven sebagai bertanggungjawab atas pelbagai tindakan oleh 17 CEO bank yang telah menjejaskan kesatuan sekerja serta melanggar kedua-dua undang-undang negara dan standard buruh antarabangsa.
Tindakan itu katanya, termasuk rundingan rahsia dengan bank-bank melucutkan hak 15,000 ahli berdedikasi dalam kalangan berpendapatan B40 dan M40 daripada Bantuan Perayaan sebulan gaji mereka yang sah pada 2024 dan seterusnya.
Selain itu katanya, ia sebagai mesej kuat kepada Kerajaan Perpaduan bahawa tindakan bank berkenaan melanggar undang-undang buruh Malaysia dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung kebebasan berpersatuan dan rundingan bersama.

"Ini bukan lagi isu pengawasan birokrasi semata-mata tetapi ia mewakili serangan terhadap maruah pekerja dan kebebasan kesatuan," tegas Solomon sambil menggesa kerajaan menegakkan Konvensyen ILO 98, yang disahkan Malaysia sendiri.
Di samping itu NUBE katanya, mahu kerajaan bertindak segera menguatkuasakan semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 tanpa ada sebarang diskriminasi, dan mematuhi Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mengukuhkan kesatuan sekerja.
Tambahan pula, Steven melanggar undang-undang tempatan dan ILO apabila merujuk Perjanjian Kolektif Ke-20 kepada Mahkamah Perusahaan apabila majikan tidak mengadakan mesyuarat rundingan serta melayani aduan gangguan di tempat kerja.
Campur tangan sedemikian katanya, menggambarkan pengabaian yang merisaukan terhadap perlindungan pekerja dan kegagalan menteri tersebut sendiri untuk menegakkan tanggungjawab kesatuan sekerja dalam tugas membela hak ahli-ahli mereka.
NUBE katanya, melihat tindakan menteri Kesuma itu mengecewakan mereka kerana sepatutnya memperjuangkan hak pekerja, tetapi bersekongkol dengan bank untuk menyekat aktiviti kesatuan serta telah mengabaikan surat dan permintaan rasmi NUBE. - DagangNews.com








