KUALA LUMPUR 25 Feb - Northport (Malaysia) Bhd menegaskan, pihaknya tidak terlibat dengan isu kenderaan yang kini tersadai di Pusat Transit Kenderaan (VTC) pelabuhan itu.
Syarikat pengendali pelabuhan tersebut sebaliknya berkata, isu berkenaan timbul akibat pertikaian antara pemilik kenderaan, syarikat perkapalan dan ejen perkapalan yang terlibat.
"Merujuk kepada laporan di media tempatan dan media sosial baru-baru ini berkenaan kenderaan yang kini berada di VTC, kami tidak terlibat dalam pertikaian membabitkan pemilik kenderaan, syarikat perkapalan dan ejen perkapalan yang berkaitan.
"Namun, kami sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, bagi memastikan penyelesaian mengikut undang-undang," jelasnya dalam satu kenyataan.
Northport turut mengingatkan semua pihak agar mengelak daripada membuat kenyataan yang tidak berasas, tidak bertanggungjawab atau tidak tepat mengenai isu itu memandangkan rundingan sedang dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan, hampir 1,000 kenderaan yang sepatutnya dihantar ke Kota Kinabalu, didakwa tersadai di Pelabuhan Klang selepas kapal kargo yang membawanya terbabit kebakaran pada 3 Disember 2024.
Dalam perjalanan ke Kepulauan Borneo, kapal kargo itu dilaporkan terbakar pada kedudukan 9.1 batu nautika berhampiran Tanjung Labuh, Batu Pahat, memaksa ia ditunda kembali ke Pelabuhan Klang.
Sebuah video dimuat naik di TikTok menunjukkan deretan kenderaan yang tersadai, dengan ada antaranya mengalami pelbagai kerosakan akibat kebakaran tersebut.
Video itu mendakwa, pemilik kenderaan perlu membayar 60 peratus nilai kereta jika mahu mendapatkan kembali kenderaan mereka. - DagangNews.com








