KUALA LUMPUR 26 Mac - Northern Solar Holdings Berhad bercadang memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad selepas mencatat rekod keuntungan kukuh berjumlah RM30.4 juta bagi tempoh tiga tahun kewangan.
Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tenaga solar itu dalam satu kenyataan berkata, cadangan pemindahan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama menandakan satu pencapaian penting sejak penyenaraiannya sebelum ini.
Langkah tersebut mencerminkan rekod prestasi kewangan yang terbukti, pengembangan skala operasi serta kedudukan yang semakin kukuh dalam sektor tenaga boleh diperbaharui negara.
Northern Solar memenuhi keperluan keuntungan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah Garis Panduan Ekuiti selepas merekodkan keuntungan selepas cukai terkumpul kira-kira RM27.6 juta bagi tiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.
Berdasarkan pelarasan yang mengecualikan item tidak berulang, jumlah keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM30.4 juta bagi tempoh sama.
Bagi tahun kewangan terkini, syarikat mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM11.4 juta, atau RM14.2 juta selepas pelarasan.
Dari segi kedudukan kewangan, Northern Solar kekal kukuh dengan tunai dan baki bank berjumlah RM52.2 juta serta nisbah gearan rendah sebanyak 0.15 kali.
Syarikat turut mencatat profil kecairan yang sihat dengan nisbah semasa 4.48 kali, selain aliran tunai operasi positif sepanjang tiga tahun kewangan lalu, sekali gus menyokong keupayaannya membiayai pertumbuhan masa hadapan.
Pengarah Urusannya, Lew Shoong Kai berkata, cadangan pemindahan itu merupakan perkembangan semula jadi sejajar usaha syarikat memperluas operasi.
“Langkah ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan prestasi kewangan kami, malah menunjukkan kesiapsiagaan untuk beroperasi pada tahap tadbir urus dan keterlihatan pasaran yang lebih tinggi.
“Seiring perkembangan sektor tenaga boleh diperbaharui di bawah pelan peralihan tenaga negara, penyenaraian di Pasaran Utama akan mengukuhkan kedudukan kami untuk menarik minat pelabur institusi serta menyokong fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.
Cadangan tersebut tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia Securities Berhad serta pemegang saham syarikat dalam mesyuarat agung akan datang.
Sekiranya tiada halangan, proses pemindahan itu dijangka dimuktamadkan pada separuh kedua 2026. - DagangNews.com








