MyCIF dekati PMKS di Sabah, perluas peluang pembiayaan perkembangan perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyCIF dekati PMKS di Sabah, perluas peluang pembiayaan perkembangan perniagaan

Jerayawara MyCIF telah diadakan di Kota Kinabalu pada 31 Julai 2025, dengan tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 Julai — Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) mendekati perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah, bagi memperluas peluang pembiayaan perkembangan perniagaan mereka.

 

Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi kempen jerayawara sehari bertemakan 'Memperkasakan Pembiayaan, Memajukan Pertumbuhan” di Kota Kinabalu yang dianjurkan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

 

Kira-kira 300 wakil daripada persatuan perniagaan, badan kerajaan, modal teroka, ekuiti swasta dan PMKS menghadiri acara itu yang turut disokong oleh agensi negeri berkenaan, Invest Sabah Berhad.

 

"Melalui program ini, pengunjung turut didedahkan mengenai keperluan modal kerja melalui Pendanaan Ramai Berasaskan Ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P)," kata SC dalam kenyataan.

 

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dam Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe yang merasmikan acara tersebut.

 

Tambahnya, program menampilkan pelbagai sesi rangkaian, perbincangan secara berasingan dan reruai pempamer dengan peserta berpeluang terlibat bersama pengendali platform ECF dan P2P berdaftar SC.

 

Mereka juga mendengar kisah kejayaan daripada beberapa syarikat dibiayai MyCIF, model pelaburan bersama awam-swasta pertama Malaysia, ditubuhkan Kementerian Kewangan susulan Belanjawan 2019.

 

"MyCIF yang ditadbir SC, telah melabur bersama dalam lebih 70,000 kempen, memanfaatkan lebih 9,500 PMKS di seluruh negara. Pada 2024, jumlah pelaburan dana itu sudah melebihi RM1 bilion," katanya.

 

Ia menggunakan nisbah pelaburan secara bersama 1:4 di bawah Skim Am dan nisbah 1:2 untuk inisiatif yang disasarkan khusus seperti Jaminan Makanan serta Skim Kesan Alam Sekitar dan Sosial.

 

Dalam pada itu, Mohamad Faiz berkata, MyCIF telah menjadi agen perubahan untuk pertumbuhan PMKS, menyediakan modal sangat diperlukan yang sering menjadi cabaran jika melalui saluran tradisional.

 

“Jerayawara Sabah penting dalam jangkauan nasional MyCIF, dan direka untuk mengembangkan kesedaran mengenai pembiayaan alternatif dalam kalangan perniagaan di seluruh Malaysia,” kata beliau lagi.

 

Aktiviti itu turut memberikan usahawan gambaran langsung mengenai bagaimana ECF, P2P dan MyCIF boleh memacu pertumbuhan mereka pada setiap peringkat serta sokongan kerajaan ke atas PMKS.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah, Dr Firdausi Suffian mengalu-alukan kerjasama dengan SC yang membolehkan agensi tersebut memperkukuh usaha bagi memperkasakan usahawan tempatan.

 

"Jerayawara ini merupakan platform penting bagi PMKS di Sabah mendapatkan pandangan dan menjalin hubungan yang boleh membantu memacu perniagaan mereka ke hadapan," katanya. - DagangNews.com