MyCC menang semakan kehakiman, Mahkamah Tinggi tolak permohonan Dagang Net | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyCC menang semakan kehakiman, Mahkamah Tinggi tolak permohonan Dagang Net

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Dis — Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencatat kemenangan bermakna setelah Mahkamah Tinggi pada 5 Disember lalu menolak permohonan semakan kehakiman oleh Dagang Net Technologies Sdn. Bhd., sekali gus mengesahkan keputusan suruhanjaya itu dan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) sebelum ini.

 

Keputusan itu sekali gus mengekalkan dapatan MyCC pada 2021 yang mendapati Dagang Net telah menyalahgunakan kedudukan dominan sebagai penyedia tunggal perkhidmatan pemudahcara dagangan dalam talian di bawah National Single Window (NSW).

 

Dalam kenyataan MyCC memberitahu, mahkamah turut memerintahkan Dagang Net untuk membayar kos prosiding sebanyak RM20,000.

 

Dagang Net, anak syarikat milik penuh Dagang Nexchange Bhd (DNEX), telah lama menguasai platform elektronik bagi penyerahan dokumen kastam. 

 

Namun, siasatan MyCC sebelum ini mendapati syarikat itu menguatkuasakan klausa eksklusiviti terhadap penyedia perisian antara Oktober 2015 dan November 2017 — tindakan yang didakwa menyekat persaingan sihat dalam ekosistem NSW dan UCustoms.

 

Atas alasan itu, MyCC mengenakan penalti RM10.3 juta ke atas syarikat berkenaan. 

 

Percubaan Dagang Net untuk mencabar keputusan itu melalui Tribunal Rayuan Persaingan juga gagal, sebelum syarikat tersebut memilih untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi. Namun, usaha tersebut kini turut menemui jalan buntu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail menyifatkan keputusan mahkamah sebagai pengiktirafan jelas terhadap mandat suruhanjaya dalam mempertahankan pasaran yang terbuka dan kompetitif.

 

"Kes ini merupakan satu perjalanan yang agak panjang dan hasilnya mengukuhkan sebab mengapa kerja kami penting dalam melindungi proses persaingan. 

 

"Apabila persaingan disekat, peluang untuk berkembang hilang, inovasi terbantut dan rakyat Malaysia akhirnya akan menanggung akibatnya. 

 

"MyCC tidak dan tidak akan berdiam diri apabila tingkah laku sedemikian berlaku. Kami akan terus bertindak dengan keyakinan dan keberanian terhadap sebarang kelakuan yang mengancam persaingan yang sihat," katanya dalam kenyataan itu. - DagangNews.com